KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyatakan sokongan kepada parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sekiranya mereka gagal membalas surat yang diberikan itu dalam tempoh 14 hari, keahlian individu itu dalam BERSATU akan terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat akan tergugur.
Katanya, surat berkenaan turut diserahkan kepada enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“MPT sudah serahkan surat kepada semua MP dan ADUN BERSATU, ada beberapa arahan secara bertulis diberikan melalui e-mel, kurier dan serahan tangan.
“Arahan itu antaranya mahu mereka tahu sebagai ahli parti seharusnya bertanggungjawab untuk setia dengan parti serta mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.
“Kita nak mereka tahu bahawa kepimpinan BERSATU tidak sokong atau menyertai kepimpinan di sebelah sana (Anwar). Itu adalah arahan spesifik kepada semua MP dan ADUN BERSATU.
“Namun kepada enam MP (ahli Parlimen) dan ADUN sebelum ini (yang menyokong Anwar), ada arahan tambahan yang diberikan kepada mereka. Apa arahan itu, kena tanya kepada mereka sendiri,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mengulas mengenai arahan lain, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, kepimpinan BERSATU turut membuat ketetapan parti itu tidak menyokong mana-mana menteri besar, ketua menteri atau pun menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh pihaknya.
“Seterusnya, presiden parti secara jelas menyatakan bahawa Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan secara berintegriti dan bebas rasuah, selaras dengan prinsip kita iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil.
“Arahan juga membabitkan perlembangan negeri yang yang menghalang perbuatan lompat parti dan ia dipermain oleh Ahli Parlimen dan ADUN serta mereka bersikap selingkuh dengan menukar atau berikan sokongan kepada parti politik lawan tanpa melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota (parti) politik itu,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252