Villa cipta sejarah ke Liga Juara-Juara

LONDON – Aston Villa layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas pesaing empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur tewas kepada Manchester City, awal pagi tadi.

Sebelum perlawanan, Tottenham satu-satunya pasukan yang boleh memintas Villa di tangga keempat, namun kini ketinggalan lima mata di belakang skuad kendalian Unai Emery dengan saingan hanya berbaki satu perlawanan.

Villa belum pernah layak ke saingan kelab utama UEFA sejak ia dijenamakan semula daripada Piala Eropah kepada Liga Juara-Juara pada 1991-92.

Kali terakhir mereka bermain di Piala Eropah adalah 41 tahun lalu pada 1982-83 setelah memenangi pertandingan itu pada musim sebelumnya.

Pemain dan staf pasukan Villa mengadakan malam anugerah tahunan mereka di Villa Park serta meraikan keputusan perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur.

Kelab itu menyiarkan gambar di media sosial dengan Emery dan pemain bersorak bagi meraikan kejayaan mereka meraih slot ke saingan peringkat Eropah.

“Ia hari yang sangat istimewa,” kata Emery. “Ini impian kami, kami memulakan musim untuk berada di sini. Kami mengalami kecederaan tetapi pasukan sentiasa fokus. Ia hebat. Untuk bermain Liga Juara-Juara adalah yang terbaik.”

“Tiada siapa menjangka kami akan berada di sana tetapi kami percaya pada diri sendiri dan percaya pada impian kami,” tulis pemain pertahanan, Lucas Digne di Instagram. “Memang sukar, tetapi pencapaian itu menakjubkan.”

Sementara itu, seorang lagi pemain Villa, Diego Carlos berkata: “Selepas lebih empat dekad kami kembali ke Liga Juara-Juara. Kami sedang mengalami musim bersejarah.” – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *