KUALA LUMPUR – Sebelum mencadangkan UiTM membuka peluang kepada bukan bumiputera, Felo Akademi Sains Malaysia, Tajuddin Abdullah seharusnya menggesa kerajaan supaya melaksanakan sekolah satu aliran terlebih dahulu.
Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang melihat cadangan bekas graduan UiTM itu sebagai tidak masuk akal.
“Cadangan untuk pengambilan bukan bumiputera ke UiTM itu sepatutnya dia kemukakan kepada kerajaan supaya laksanakan dahulu sekolah satu aliran.
“Ketika di sekolah rendah dan menengah, mereka tidak mahu bersama, tetapi apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi, baru nak bersama kita. Nampak sangat ada tujuan khas demi kepentingan diri.
“Ini umpama kedai runcit bukan Melayu dengan kedai runcit Melayu. Jika barang nak dibeli tidak terjual di kedai kaum mereka, barulah mereka pergi ke kedai Melayu. Kalau tidak, mereka tak akan berbelanja pun di kedai Melayu.
“Kepada segelintir orang Melayu yang lupa asal usul, cukuplah nak berbudi. Jangan kerana nak kejar populariti kamu rasakan akan diangkat oleh bukan Melayu. Jangan mimpi, kamu tak dapat apa-apa pun. Kamu hanya dijadikan alat sahaja,” katanya kepada Nasionaldaily di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan ahli akademik itu yang dilaporkan berkata, pengecualian bukan bumiputera daripada program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks UiTM boleh menghalang kemajuan dan pembangunan bidang itu.
Kata beliau, langkah mengekalkan amalan semasa boleh mengehadkan persaingan sihat dan menghalang perkembangan profesion perubatan, selain akan mengabaikan potensi bakat serta perspektif yang pelbagai daripada etnik lain.
“Saya tidak bersetuju kemasukan ke UiTM tidak seharusnya dibuka kepada pelajar bukan bumiputera. Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum dan penting untuk menerima kepelbagaian dan menyediakan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.
“Menerima kepelbagaian kaum kita dalam sistem pendidikan kita boleh menggalakkan integrasi nasional dan perpaduan sosial, mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan inklusif,” kata Tajuddin seperti dilaporkan portal FMT.
Menurut Dr. Ibrahim, hanya Melayu yang tidak ada jati diri sahaja tidak mahu menerima hakikat kemampuan bangsa sendiri, dengan masih menyanjung dan menobatkan orang lain.
“Nak mengampu pun tengok keadaan. Jangan jadikan UiTM sebagai alat untuk mendapat tempat di hati pihak lain. UiTM inilah satu-satunya institusi pengajian tinggi untuk anak Melayu.
“Bangsa lain sudah ada pusat pengajian tinggi sendiri, selain bertebaran di IPTS dan IPTA selain UiTM. Apakah, masih tidak cukup untuk menempatkan mereka hingga mahu korbankan UiTM?
“Pemimpin jenis apakah ini, tidak ada agenda Melayu langsung dalam jiwa? Orang lain sudah jelas pentingkan kaum sendiri, kita pula nak bermurah hati memilih UiTM sebagai ‘rumah’ mereka,” katanya dengan nada kecewa.
Katanya, cukuplah menjadi barua kepada orang lain, jangan pula nak bunuh bangsa sendiri. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252