KUALA KUBU BHARU – Tiada perbincangan dibuat mengenai cadangan untuk memperluas program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada mahasiswa bukan bumiputera, setakat ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ada beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum mempertimbangkan cadangan untuk menerima pelajar bukan bumiputera bagi program berkenaan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mencari penyelesaian terbaik, selain menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengetuai usaha menyelesaikan isu berkenaan.
“Kita belum bincangkan perkara ini, selain tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan berkenaan.
“Penting untuk kita selesaikan beberapa isu asas sebelum membincangkan cadangan berkenaan,” katanya dipetik Berita Harian selepas program Suara Anak Madani Harian, malam tadi.
Baru-baru ini, portal media dalam talian melaporkan UiTM mempertimbangkan cadangan memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kendaliannya kepada doktor pelatih bukan bumiputera.
Profesor di Fakulti Perubatan UiTM, Dr. Raja Amin Raja Mokhtar dilapor mencadangkan perkara itu sebagai penyelesaian isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ pembedahan kardiotoraks yang tidak diiktiraf.
Ini kerana, katanya, program latihan ‘parallel pathway’ pembedahan kardiotoraks UiTM-Institut Jantung Negara adalah satu-satunya yang ditawarkan di negara ini.
KKM pada 2 April lalu, mengumumkan Program Parallel Pathway (PPP) akan diiktiraf, selain bercadang supaya Kabinet menyegerakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi tujuan itu.
Pada 19 April lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi dan KKM bersetuju untuk menyelesaikan isu PPP bagi pakar perubatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252