Kerajaan terima kritikan, namun tidak bertolak ansur sentimen 3R – Anwar

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya bersedia menerima sebarang kritikan, namun tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum).

Perdana Menteri berkata, kebebasan bersuara yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati.

“Raja-Raja Melayu secara konsesus meminta supaya kerajaan lebih tegas menghalang.. ini kerana mereka merasa tidak adil. (Raja-Raja Melayu) diserang, tapi (Raja-Raja Melayu) tak boleh jawab.

“… semua cakap nak pertahan Melayu, parti pun parti Melayu, tapi maki Raja-Raja Melayu… saya tidak akan bertolak ansur (bagi yang) langgar peraturan ini, polis akan bertindak tegas dan saya minta Peguam Negara kaji dan bawa ke mahkamah biar mahkamah putuskan,” katanya dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang menyentuh institusi raja-raja, sebagai contoh dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino.

Semalam, ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar menegaskan, mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia itu dikendalikan penyampai RTM, Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Dzulfitri Yusop (Astro Awani) dan Azaria Tagaya (TV3). – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *