BERITA UTAMA

Siapa dari PDRM mahu pengebumian Allahyarham Tun Hanif di Makam Pahlawan?

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan siapakah dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberitahu kepada keluarga Allahyarham Tun Mohamed Hanif Omar untuk urusan pengebumian di Makam Pahlawan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, apabila keluarga bersetuju dengan pemakluman itu, jenazah Allahyarham terus dibawa ke Masjid Negara untuk disolat dan diuruskan pengebumian.

Kata beliau, malangnya selepas disolatkan Imam Masjid Negara mengumumkan jenazah Allahyarham Mohamed Hanif akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

“Saya bertanya ini dengan elok dan sopan santun. Saya bukan nak timbulkan perkara ini sebagai isu, tetapi ia melibatkan jenazah seorang tokoh yang bergelar Tun dan menerajui PDRM lebih 20 tahun berjasa kepada keselamatan negara dan rakyat.

“Saya sangat sedih dan berharap pertanyaan saya melalui media ini diambil perhatian oleh pihak PDRM serta kerajaan Madani.

“Jawapan telus dan terus terang daripada dua pihak ini dapat menghilangkan aib kepada keluarga Allahyarham dan rakyat juga hendak tahu hal sebenar yang berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau dan rakyat menunggu jawapan daripada PDRM dan kerajaan perpaduan.

Semalam, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar, anak kepada Allahyarham menafikan pertukaran lokasi itu daripada permintaan ahli keluarganya.

Tetapi, katanya, lebih kurang jam 9.45 pagi itu, beliau dimaklumkan oleh PDRM supaya mempertimbangkan untuk jenazah dibawa terus ke Masjid Negara untuk semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *