BERITA UTAMA

Sembilan transaksi pindahan wang dari Proeight ke ICG Services

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret II di sini, hari ini diberitahu, terdapat sekurang-kurangnya sembilan rekod pindahan wang dari syarikat Proeight kepada syarikat ICG Services Sdn. Bhd sepanjang tempoh satu tahun dari Januari 2021 hingga Januari 2022.

Menurut saksi pendakwa raya, Munir dari Maybank Cawangan Reef Rawang, semua transaksi pindahan wang itu dilakukan secara atas talian Maybank2U dari pindahan pertama pada 11 Januari 2021 sebanyak RM20,655 sehingga pindahan kesembilan pada 19 Januari 2022 berjumlah RM16,430.

Munir saksi kedua juga memberitahu mahkamah, pindahan wang kali kedua berlaku pada 3 Februari 2021 sebanyak RM12,400, diikuti kali ketiga 26 Februari 2021 (RM25,990) dan seterusnya pada 19 Mac 2021 (RM16,200), 2 Jun 2021 (RM15,655), 30 Julai 2021 (RM14,310), 1 September 2021 (RM16,840) serta 22 Oktober 2021 (RM16,200).

Beliau dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi perbicaraan ke atas tertuduh, bekas Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif ProEight, Bob Jeffry Bob Fauzi Ziegler yang berdepan tuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM433,557 untuk kegunaannya.

Adik kepada pelakon Julia Ziegler itu dihadapkan ke mahkamah pada 26 September 2022 atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun bagi setiap pertuduhan dan juga berhadapan dengan hukuman sebat dan denda jika didapati bersalah.

Seramai dua saksi dipanggil hari ini, tetapi saksi ketiga dari syarikat Proeight tidak dapat meneruskan soal jawab di mahkamah kerana Timbalan Pendakwa Raya minta perbicaraan ditangguhkan.

Perbicaraan seterusnya pada 7 dan 8 Mei ini di Mahkamah Majistret II, Shah Alam di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Pada 6 Mac lalu, saksi pertama pendakwa, Penyelenggaraan Eksekutif Proeight, Anuar Mohd Nor disoal balas oleh peguam bela tertuduh dengan menyatakan, tidak pernah mendengar atau berurusan dengan pembekal bernama Thezies PLT dan ICG Services.

Bob Jeffrey yang merupakan bekas pramugara sebuah syarikat penerbangan telah dipanggil memberi keterangan kepada polis berikutan laporan polis dibuat oleh majikannya, Pengarah ProEight, Ir. Azhar Zainal Abidin pada 13 Mei 2022.

Beliau berdepan dengan tuduhan pecah amanah wang syarikat apabila mengemukakan tuntutan palsu bagi memperoleh wang sebanyak RM433,557 untuk kegunaannya.

Beliau kemudian dihadapkan ke mahkamah pada 26 September 2022 dan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *