BERITA UTAMA

Zahid disahkan ‘saksi kritikal’ ikrar afidavit sokong Najib semak kehakiman cabar Titah Adendum

KUALA LUMPUR – ‘Saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights pada 30 Januari lalu.

“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau (Tengku Zafrul) menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada tahanan rumah, bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

“Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” katanya.

Afidavit itu boleh dimuat turun oleh orang awam menerusi laman web e-Kehakiman.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Ahmad Zahid menegaskan melihat dengan jelas semua kandungan Titah Adendum dan ia adalah sebahagian proses pengampunan Najib yang menjadi tambahan kepada Titah Utama bertarikh sama.

Justeru, Presiden UMNO itu mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum berkenaan.

“Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” katanya.

Beliau berkata, tiada salinan Titah Adendum atas alasan kerahsiaan dan kewajaran, terutama memandangkan titah pada masa itu belum dilaksanakan lagi.

“Saya bagaimanapun mengesahkan perkara yang sama adalah dalam milikan kolektif responden.

“Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa Peguam Negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan Titah Adendum untuk pertimbangan undang-undang beliau,” katanya. – (Dipetik laporan Berita Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *