GEORGETOWN – Akademi Boria mengharapkan bantuan daripada kerajaan Pulau Pinang menerusi Jabatan Warisan Negara untuk mengiktiraf seni persembahan itu sebagai Warisan Dunia (UNESCO).
Pengarahnya, Jibran Khalil Sindamadar berkata, boria wajar diangkat sebagai warisan dunia kerana ia merupakan seni unik yang wujud di negara ini sejak abad ke-19 lagi.
Katanya, persembahan itu merangkumkan empat cabang iaitu sketsa atau lakonan, rangkap karangan (lirik), tukang karang (nyanyian) dan gerak tari tambahan.
Justeru, kata beliau, akademi itu sedang berusaha memperjuangkan supaya boria disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO agar ia dapat dipertahankan dan tidak hilang ditelan zaman.
“Usaha telah dibuat sejak 2018 lagi apabila kita bersama Presiden Pertubuhan Jawi Peranakan, Datuk Dr. Wazir Jahan Karim ketika melancarkan buku Boria: From Passion Play to Malay-Jawi Peranakan Parody telah mencadangkan boria disenaraikan sebagai warisan hidup UNESCO.
“Permohonan juga pernah diserahkan kepada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ketika itu Timbalan Menteri Pelancongan. Kita masih mengharapkan kerajaan negeri, Jabatan Warisan dan Georgetown World Heritage dapat membantu,” katanya kepada Bernama pada Majlis Jamuan Yaribba Boria Raya 2024, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 13 individu termasuk Jibran Khalil menerima Sijil Seniman Boria yang disampaikan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap penggiat boria yang menyumbang tenaga serta kreativiti dalam memartabatkan seni itu sejak berpuluh tahun.
Menurut Jibran Khalil, selain menuntut pengiktirafan UNESCO, pihaknya turut mengusulkan nama Lorong Kulit ditukar kepada Jalan Boria kerana merupakan tempat kemegahan persembahan boria pada awal tahun 50-an.
Dalam pada itu, beliau berkata, akademi yang ditubuhkan 10 tahun lalu itu, kini giat berusaha memulihara boria dengan masuk ke sekolah rendah dan menengah untuk mencari pelapis dalam kalangan generasi muda sebagai penyambung kepada warisan tersebut.
Akademi Boria juga dalam perancangan menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menjadikan akademi itu sebagai pusat penyelidikan dan pedagogi agar kesenian boria dapat diperkasakan serta diwarisi generasi akan datang. – BERNAMA
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!