BERITA UTAMA

Suspek kes tembak diterbangkan ke IPK Selangor

SHAH ALAM – Selepas mendapat tahanan reman dari Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, suspek kes tembak di KLIA 1 awal pagi kelmarin terus dibawa ke Shah Alam, Selangor.

Pesawat yang membawa suspek, Hafizul Harawi, 38, tiba di Pangkalan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM), Subang, dekat sini pada jam 2.15 petang ini.

Beliau yang masih berpakaian lokap warna ungu dikawal ketat pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang berpakaian taktikal dengan bersenjata. 

Suspek yang ditangkap di sebuah hospital di Kota Bharu kira-kira jam 3 petang semalam itu dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam menggunakan kereta PDRM sambil diiringi beberapa Unit Rondaan Bermotor (URB). 

Hafizul yang ketika ditangkap memiliki sepucuk pistol diterbangkan dari Kota Bharu dengan pesawat King Air B300 milik PDRM pada jam 1 tengah hari tadi.

Turut kelihatan mengiringi suspek, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain. 

Terdahulu Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan reman ke atas Hafizul selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek berkenaan. 

Shuhaily pada satu sidang media semalam memaklumkan, suspek telah melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, yang mana satu das tembakan tersasar dan satu das lagi terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek. 

Mangsa kena tembak adalah seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun kini menerima rawatan di Hospital Cyberjaya dan difahamkan belum sedarkan diri.

Mohd Shuhaily turut memaklumkan, suspek pernah ditahan pada Februari lalu atas laporan polis dibuat isterinya, Farah Cie berkaitan kesalahan ugutan jenayah pada Disember 2023.

Katanya, wanita itu juga pernah membuat laporan polis berhubung kesalahan sama terhadap suspek pada 2016. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *