BERITA UTAMA

KJ puas hati Lokman Adam minta maaf, setuju bayar pampasan

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa puas hati selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersetuju untuk memohon maaf dan membayar pampasan yang tidak didedahkan kepada bekas Menteri Kesihatan itu.

“Saya berterima kasih kepada Yang Arif Hakim (Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan), saya berpuas hati dia (Lokman) minta maaf dan setuju untuk bayar seperti yang dipersetujui,” kata Khairy ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ berada di mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam, namun Lokman tidak hadir dan hanya diwakili peguamnya, Logen Eskander.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy, 48, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional, selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras. – (Dipetik laporan Sinar Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *