KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mengesahkan telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Dalam hantaran terbaharu di laman media sosialnya, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, penahanan itu dilakukan sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Beliau dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi di sini, esok.
“Saya telah ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun telah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.
“Insya-Allah, saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan. Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” katanya ringkas menerusi laman sosial itu.
Difahamkan, Dr Muhamad Akmal mempunyai program di Kota Kinabalu sebelum penahanannya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin menjadi sasaran banyak pihak susulan seruan memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart yang terpalit kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Sebelum ini, aktivis politik dari Sarawak dan Sabah mahu Dr. Akmal dan empat yang lain dilarang memasuki kedua-dua negeri Borneo itu.
Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Sabah Defenders of Ancestral Lands’ (Mopot) menggesa Sarawak melarang beberapa individu daripada memasuki wilayah tersebut.
Kedua-dua persatuan itu mendakwa, Dr Muhamad Akmal menjadi dalang peningkatan ketegangan kaum dan agama, serta perselisihan sosial di negara ini. – (Dipetik laporan Astro Awani).
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!