SEPANG – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan tumpahan minyak hitam di aliran longkang Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu, dekat sini, pagi ini.
Serentak itu, kakitangan LUAS mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air pada jam 10 pagi untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.
Mengikut kenyataan, LUAS telah mengambil tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom dan oil pad di lokasi parit monsoon yang mengalir ke Sungai Labu.
Katanya, tindakan itu bagi memerangkap dan menghalang aliran kesan minyak tersebut dari mengalir ke sungai berhampiran.
“Pemerhatian awal LUAS mendapati tiada kawasan perindustrian atau bengkel membaiki kenderaan di bahagian hulu sungai.
“Namun, siasatan lanjut di lokasi mendapati sisa minyak tersebut terkumpul di bawah jambatan jalan utama dengan anggaran panjang aliran adalah 1.8 kilometer yang disyaki berpunca daripada pembuangan minyak di aliran longkang tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pensampelan ujian bau yang dilakukan LUAS merekodkan bacaan sehingga 5 ton dan bau seakan-akan minyak bitumen.
Jarak antara lokasi insiden ke LRA Sungai Labu pula sekitar 0.75 kilometer dan LRA Salak Tinggi 5.78 kilometer.
Setakat ini, keadaan adalah terkawal dan tiada permasalahan serta kesan kepada muka sauk bekalan air.
LUAS menggerakkan kerja pembersihan segera di lokasi dan memantau rapi keadaan semasa. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!