BERITA UTAMA

Sazali masih tunggu lanjutan kontrak royalti P Ramlee

KUALA LUMPUR – Sazali P Ramlee, anak kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengharapkan rayuan lanjutan tempoh kontrak royalti atas karya bapanya masih dipertimbangkan kerajaan.

Sazali tidak lagi menerima imbuhan royalti selepas tempoh perlindungan bermula pada 29 Mei 1973 itu mencukupi 50 dekad tahun lalu.

Sedih dengan hakikat itu, Sazali berkata, dia masih mengharapkan ada sinar kontrak royalti itu disambung.

“Memang sedih, tapi saya pun tak boleh buat apa sebab tempoh 50 tahun sudah tamat.

“Saya tak boleh nak marah atau membantah. Sekarang saya hanya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ). Dengan dua bantuan ini saya memperoleh sekitar RM900 sebulan.

“Tak dinafikan, tanpa royalti itu memang terasa, lagi pula isteri kurang sihat dan saya perlu membayar semua bil,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni tanah air anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dengan sokongan Free Malaysia Today (FMT) di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini

Kata Sazali, sebelum ini, menteri ada mengatakan mahu berbincang soal lanjutan kontrak royalti berkenaan dan sekiranya disambung beliau bersyukur.

“Jika diizinkan Allah, saya memang mengharapkan sangat, tapi rezeki semuanya di tangan Tuhan, saya hanya mampu berdoa,” katanya

Kongsi Sazali, bayaran royalti diterima setahun sekali banyak membantu meneruskan kelangsungan hidup memandangkan tidak bekerja atas beberapa kekangan.

“Jujurnya, saya dapat lebih RM20,000 sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, selepas PKP, saya hanya terima sekitar RM8,000.

“Mereka beritahu semua penyanyi dan pemuzik terima penyusutan bayaran selepas PKP, jadi saya tak boleh buat apa.

“Bayaran royalti banyak membantu. Dulu masa ada duit royalti arwah, macam-macam saya boleh bayar.

“Saya dan isteri tidak bekerja, itulah tempat penggantungan saya,” katanya.

Sebelum ini, Sazali dilaporkan merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya.

Sazali mendakwa dirinya semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.

BH pernah melaporkan, pada 29 Mei tahun lalu, genap 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung, lantas meninggalkan peminat legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu Allahyarham P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) diteruskan kepada waris lain, termasuk Sazali.

Sazali berkata, dia juga memerlukan sejumlah wang besar untuk membiayai pembedahan isterinya.

“Tulang leher isteri sudah rapuh dan memerlukan pembedahan memasukkan besi. Kami memerlukan RM28,000 sebab perlu menjalani ujian pengimejan resonans magnetic (MRI) dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, Sazali tetap bersyukur masih ada pihak yang prihatin atas nasibnya seperti KARYAWAN yang memilihnya antara 50 penerima sumbangan sempena Ramadan.

“Saya terharu KARYAWAN masih mengingati saya. Terima kasih juga kepada Datuk Freddie Fernandez kerana banyak membantu.

“Walau susah macam mana pun, Freddie tetap datang ke rumah membantu menguruskan kerja saya.

“Saya sudah kenal lama Freddie dan beliau adalah satu-satunya insan banyak membantu saya.

“Beliau juga sangat mengambil berat dan untuk Ramadan, inilah bantuan pertama yang diterima,” katanya.

Antara penggiat seni yang turut terima sumbangan termasuklah Datuk Hail Amir, Imuda, Norlia Ghani, Umarul Iklim, Ali XPDC, Enot, Jaafar Onn, Margaret Gan, Zaiton Sameon dan ramai lagi. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *