BERITA UTAMA

Gaza: Tentera Israel bunuh warga Britain, Australia

SEMENANJUNG GAZA – Sekurang-kurangnya lima pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Central Kitchen (WCK), termasuk warga Britain dan Australia terbunuh dalam serangan udara Angkatan Tentera Israel (IDF) di sini, lewat malam Isnin.

Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas dalam kenyataannya berkata, selain warga Britain dan Australia, mangsa lain yang terbunuh dalam insiden di Deir al-Balah, di kawasan tengah Gaza itu termasuk rakyat Poland dan seorang penduduk Palestin.

Sehubungan  itu, WCK melalui platform X menyatakan, “Kami menyedari laporan ahli pasukan WCK telah terbunuh dalam serangan IDF ketika bekerja untuk menyokong usaha penghantaran makanan kemanusiaan kami di Gaza.

“Ini adalah tragedi. Pekerja bantuan kemanusiaan dan orang awam tidak pernah menjadi sasaran (sebegini).”

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, kumpulan pejuang Islam Hamas berkata, serangan itu bertujuan untuk ‘menakut-nakut’ pekerja agensi kemanusiaan antarabangsa dan menghalang mereka daripada meneruskan misi mereka.

Mengulas mengenai laporan itu, IDF pula berkata, ia sedang menjalankan kajian menyeluruh di peringkat tertinggi untuk memahami keadaan apa yang disebut sebagai insiden tragis itu.

“IDF melakukan usaha yang meluas untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat, dan telah bekerjasama rapat dengan WCK dalam usaha penting mereka untuk menyediakan makanan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” dakwa kenyataan IDF itu, lapor Reuters.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, dalam wawancara radio dengan penyiar negeri ABC, kementerian luar negara itu ‘menyiasat segera’ laporan itu.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia berkata, laporan kematian seorang pekerja bantuan Australia, Lalzawmi ‘Zomi’ Frankcom amat mendukacitakan, yang terdahulu dilaporkan agensi penyiaran Australia, 9 News.

“Kami telah jelas mengenai keperluan untuk nyawa orang awam dilindungi dalam konflik ini. Kami juga sangat jelas kami menjangkakan pekerja kemanusiaan di Gaza mempunyai akses yang selamat dan tanpa halangan untuk melakukan kerja menyelamatkan nyawa mereka,” kata jurucakap itu.

Video yang diperoleh Reuters menunjukkan paramedik memindahkan mayat ke hospital dan memaparkan pasport tiga daripada mereka yang terbunuh.

Terdahulu, WCK telah bertindak menyampaikan bantuan makanan dan menyediakan makanan untuk penduduk Gaza yang memerlukan bantuan, dan berkata bulan lalu, ia telah menyediakan lebih 42 juta makanan di Gaza dalam tempoh selama 175 hari.

WCK ditubuhkan pada tahun 2010 oleh Chef Jose Andres dengan menghantar tukang masak dan makanan ke Haiti selepas berlaku gempa bumi. 

Organisasi berkenaan sejak itu telah menghantar makanan untuk komuniti yang dilanda bencana alam, pelarian di sempadan Amerika Syarikat, pekerja penjagaan kesihatan ketika wabak Covid-19 dan penduduk yang dilanda konflik perang di Ukraine dan Gaza.

Andres berkata, dalam platform X, beliau sedih dan berduka atas keluarga dan rakan-rakan  mangsa yang maut dalam serangan udara itu.

“Kerajaan Israel perlu menghentikan pembunuhan ‘sesuka hati’ ini. Ia perlu berhenti menyekat bantuan kemanusiaan, berhenti membunuh orang awam dan pekerja bantuan, dan berhenti menggunakan makanan sebagai senjata di Gaza. 

Tiada lagi nyawa yang tidak berdosa terkorban. Keamanan bermula dengan kemanusiaan kita bersama. Ia perlu mulakan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pegawai kesihatan Palestin berkata, serangan udara berasingan Israel ke atas sebuah rumah mengorbankan enam orang di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, lokasi lebih sejuta penduduk Palestin berlindung pada ketika ini. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *