BERITA UTAMA

Wanita tempatan ‘tiket’ lelaki warga asing dapat lesen perniagaan

Kuala Terengganu – Taktik lelaki warga asing mengahwini wanita tempatan demi mendapatkan pelbagai kemudahan semakin meluas dalam kalangan masyarakat dan sukar dibendung.

Pengarah Imigresen negeri, Azhar Abd Hamid berkata, mereka sanggup berbuat apa sahaja hinggakan mengahwini wanita tempatan terutama warga emas bagi mendapat pelbagai kemudahan seperti lesen perniagaan.

Katanya, sebaik sahaja lelaki tersebut mendapat apa yang mereka mahukan, wanita tempatan itu akan diabaikan dan memilih untuk hidup berasingan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada antara wanita tempatan bersuamikan warga asing hanya diberi wang perbelanjaan sebanyak RM300 sebulan.

“Taktik menjadikan wanita tempatan sebagai mangsa kepentingan peribadi lelaki warga asing itu dikhuatiri semakin meluas dalam kalangan masyarakat dan sukar untuk dibendung,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya bimbang jika keadaan itu berterusan lebih ramai wanita tempatan akan menjadi mangsa.

“Kebiasaannya, kebanyakan wanita yang terlibat dalam kes itu enggan membubarkan perkahwinan atas alasan tiada siapa yang akan menanggung jika berpisah dengan suami warga asing,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 61 perkahwinan baharu membabitkan wanita tempatan dan warga asing didaftarkan sejak Januari lalu, manakala seramai 192 pasangan memperbaharui Pas Lawatan Sosial.

Tahun lalu, katanya, sebanyak 925 perkahwinan dengan warga asing direkodkan dan 73 kes adalah perkahwinan baharu dan 852 permohonan lanjutan pas pasangan. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *