BERITA UTAMA

Tidak sehaluan, Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.

Dalam catatan terbaharu di laman sosialnya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, beliau melihat perancangan kebangkitan parti di negeri itu sebagai hambar, dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO Pusat.

Menurut beliau, apa yang berlaku itu juga sama sekali bertentangan dengan usaha Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti yang katanya tidak henti-henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat Pusat.

“Namun, sejauh mana hebat perencanaan Pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di Pusat.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Ketika ini, UMNO Selangor dipimpin oleh Setiausaha Politik Ahmad Zahid, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan juga Datuk Johan Abd Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, selaku Timbalan Pengerusi.

Dalam catatannya, Tengku Zafrul berpandangan, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan,” katanya lagi.

Bagi mengelak hakikat tersebut, beliau berkata, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa.

Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas, katanya lagi, sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

“Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat Pusat,” luah beliau lagi.

Tengku Zafrul turut merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini, dan beliau akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

“Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat negeri ini, Insya-Allah.

“Semoga UMNO kembali ke persada politik tanahair demi Agama, Bangsa dan Negara. Dulu, Kini dan Selamanya,” katanya lagi.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *