Oleh: Shahrulufti Sharif
UiTM atau Universiti Teknologi Mara merupakan antara institusi awam yang terulung di negara ini. Universiti ini telah melahirkan ramai tokoh yang banyak memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negara.
Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Mohamad @ Mat Sabu merupakan antara ratusan penuntut yang pernah menuntut di institusi ini.
Kisah ini bermula pasca terjadinya rusuhan 13 Mei 1969. Ketika itu, kaum bumiputera jauh ketinggalan sejak merdeka lagi.
Pada ketika itu juga, hanya satu sahaja universiti yang ada di Tanah Melayu iaitu Universiti Malaya (UM). Itu pun, ianya dipenuhi penuntut bukan Melayu dan hanya segelintir sahaja penuntut bumiputera yang mendapat tempat di beberapa fakulti seperti Kedoktoran, Kejuruteraan dan Sains.
Segelintir penuntut ini pula datangnya daripada keluarga yang berada ataupun mereka yang berkelulusan dari sekolah Inggeris. Bagaimanapun, terdapat usaha untuk membantu kaum bumiputera mendapatkan pendidikan melalui penubuhan Dewan Latehan RIDA oleh Dato’ Onn Jaafar.
Pada 14 Februari 1957, ianya telah dirasmikan oleh Tun Dr Ismail. Pengambilan yang pertama hanyalah seramai 25 orang. Beberapa tahun kemudian, Dewan Latehan RIDA telah ditukar nama menjadi Maktab Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pada tahun 1967, Maktab MARA dinaik taraf menjadi Institut Teknologi MARA (ITM).
Setelah ITM ditubuhkan, mereka yang berkelulusan diploma ITM ini kebanyakannya mendapat gaji yang setaraf dengan para pelajar yang berkelulusan STPM pada ketika itu. Pengarah ITM ketika itu, Tan Sri Arshad Ayub pernah membawa isu ini ke pihak atasan supaya ITM dinaiktaraf menjadi sebuah universiti.
Pada masa sama, penuntut ITM juga berusaha untuk menaik taraf ITM kepada yang lebih tinggi. Misalnya, kepimpinan tertinggi Kesatuan Siswazah Insititut Teknologi Mara (KSITM) telah menghantar satu memorandum kepada banyak pihak seperti Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Mohammed Yaacob.
Dalam memorandum tersebut mereka menyatakan Ijazah ITM bernilai kerana kelulusannya diterima masuk ke program-program sarjana universiti luar negara seperti University of Ohio, University Michigan dan University of Washington.
Mereka turut mendesak agar program diploma iTM diberikan pengiktirafan di peringkat ijazah dan ITM dinaiktraf menjadi sebuah universiti. Malangnya, memorandum tersebut tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
Pada malam 22 April 1974, seramai 6,000 penuntut ITM telah berarak sejauh 60 kilometer dari Shah Alam ke Bangunan Parlimen untuk berdemonstrasi. Perarakan seumpama ini tidak pernah terjadi selepas perarakan menentang Malayan Union pada 1946.
Namun, perarakan ini tidak berjalan dengan lancar. Pihak keselamatan seperti FRU telah menunggu mereka di Batu Tiga. Pihak FRU meminta mereka bersurai, namun tidak diendahkan oleh para penuntut. Akibatnya, bom asap terpaksa dilepaskan.
Akhirnya, hanya 300 penuntut sahaja yang berjaya sampai ke Parlimen. Seramai 1,500 penuntut juga ditangkap. Pada masa sama, sejumlah penuntut berjaya merampas sebuah kereta api untuk membawa mereka ke Kuala Lumpur. penuntut dari fakulti kejuruteraan berjaya merampas kereta api dari Shah Alam untuk menuju ke Kuala Lumpur.
Disebabkan perarakan itu tidak menjadi, pimpinan KSITM mengambil langkah lain dengan menguasai kedua-dua kampus iaitu di Shah Alam dan Jalan Othman selama 10 hari.
Menurut Ibrahim Ali yang merupakan Presiden KSITM ketika itu, tindakan mereka ini mendapat “restu” daripada Tan Sri Arshad Ayub. Sewaktu kampus-kampus dikuasai, bekalan elektrik dan air dipotong supaya penuntut meninggalkan kampus.
Pada waktu ini, sebuah kerjasama yang takkan pernah ada lagi hingga ke hari ini berlaku. penuntut jurusan pengurusan hotel ditugaskan untuk menyediakan makanan, penuntut masscom pula ditugaskan untuk melakukan propaganda dan perang saraf, manakala penuntut kejuruteraan membuat kerja mereka.
Ibu bapa penuntut juga telah dibawa untuk memujuk para penuntut untuk keluar, namun usaha tersebut hanyalah sia-sia hinggalah satu rundingan berlaku.
Sebuah rundingan diadakan di pejabat Perdana Menteri atas permintaan penuntut KSITM sendiri. Melalui rundingan itu, kerajaan bersetuju untuk menaiktraf diploma ITM dengan ijazah am dan diberikan gaji yang setaraf dan graduan yang telah bekerja dahulu, mereka perlu menerima bayaran tunggakan gaji yang sepatutnya mereka terima.
Namun, keputusan untuk menaiktraf ITM tidak dapat dilaksanakan walaupun diploma mereka telah diiktiraf.
Oleh itu, pada 1978, Pengarah ITM pada ketika itu telah mewujudkan program berkembar antara ITM dan universiti luar negara untuk membolehkan institusi tersebut diiktiraf di luar negara. Datuk Ibrahim Ali pula telah menubuhkan Teknologi Sdn. Bhd. untuk mengumpulkan para graduan ITM.
Pada tanggal 26 Ogos 1999, Datuk Ibrahim Ali telah mengadakan satu himpunan siswazah ITM dan beliau menjemput Tun Dr Mahathir untuk merasmikan program tersebut.
Semasa program itu, Datuk Ibrahim Ali meminta agar Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan ITM dinaiktaraf menjadi sebuah universiti dalam ucapan beliau.
Di dalam program itu juga, Tun Dr. Mahathir bersetuju untuk menaiktraf ITM kepada universiti dan bermula saat itu, lahirlah Universiti Teknologi Mara yang kita kenali sebagai UiTM pada hari ini.
Akhirnya, perjuangan dan penantian para penuntut ITM selama 25 tahun menjadi kenyataan.
Hakikatnya, nama-nama seperti Ibrahim Ali, Anuar Tahir, Abdul Hasan Malek dan beberapa lagi kurang dikenali oleh para graduan yang hidup ketika generasi X dan Y.
Malah, pihak UiTM sendiri tidak memberikan pendedahan bagaimana UiTM ini dilahirkan dalam Minggu Destini Siswa dan lain-lain walaupun hakikatnya perjuangan inilah yang menyebabkan UiTM kini setaraf dengan universiti-universiti terhebat di dunia sekarang. Terima kasih wahai pejuang ITM!. – NasionalDaily
Penulis: Shahrulufti Sharif
RUJUKAN: Ibrahim Ali: Perjuangan Tanpa Noktah.
The Patriot
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!