BERITA UTAMA

462 projek sakit sehingga 29 Februari lalu-KPKT

Kuala Lumpur – Sebanyak 230 projek lewat dan 462 projek sakit selain 115 projek disahkan sebagai projek terbengkalai direkodkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga 29 Februari lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kesemua projek tersebut membawa nilai pembangunan kasar sebanyak RM201.75 bilion.

Bagaimanapun, katanya, nilai ini menunjukkan pengurangan kepada bilangan projek lewat, sakit dan terbengkalai berbanding statistik sehingga 31 Januari 2024.

Aiman Athirah berkata, tindakan yang dapat dilakukan adalah mengambil kira punca berlakunya keadaan seperti itu.

“Cari punca kenapa berlaku seperti itu, contohnya, kelemahan daripada sudut kewangan pemaju itu. Maka, kita adakan libat urus bersama dengan institusi kewangan.

“Tumpuan kita bukanlah menghukum tetapi menyelesaikan atau memulihkan projek-projek perumahan ini dan memastikan pembeli diberikan pembelaan serta mendapat kediaman masing-masing,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, sehingga kini, sebanyak 88 projek yang melibatkan 10,560 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar RM8.23 bilion berjaya dipulihkan.

Katanya, daripada jumlah itu, 81 projek berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), lima projek berstatus sakit kembali menjadi lancar dan dua lagi projek terbengkalai dapat dipulihkan.

“Dua projek perumahan swasta terbengkalai berjaya diselesaikan membabitkan Taman Daya (Astana Square), Kepong, Selangor yang memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki dan Perpaduan Heights Fasa 1 dan 2, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli oleh kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) masih kekal sebagai satu daripada agenda utama KPKT dengan fokus yang lebih bersasar dan strategik.

“TFST juga akan berusaha memastikan unjuran projek perumahan swasta sakit berakhir pada Disember 2024 adalah kekal atau kurang daripada 505 projek perumahan sakit seperti yang disasarkan,” katanya. – NasionalDaily.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *