SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada pengasas dan juga Pengerusi Rangkaian Kedai Serbaneka KK Mart, Datuk Seti Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui.
Mereka berdua membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Kedua mereka dihadapkan ke mahkamah berikutan penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah cawangan KK Super Mart Bandar Sunway baru-baru ini.
Mereka dituduh dengan niat sengaja pada 13 Mac lalu melukakan perasaan agama orang Islam mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda.
Sebelum ini, tular sekeping gambar memaparkan stoking tertera kalimah Allah dipamer untuk tujuan dijual pada rak sebuah cawangan KK Super Mart Bandar Sunway, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Meskipun pengurusan tertinggi KK Mart telah memohon maaf, namun ramai pihak mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka berikutan perbuatan itu mengguris hati umat Islam.
Berikutan itu, polis menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.
Semalam, dalam satu kenyataan, KK Mart telah menyaman syarikat pembekal berkenaan kerana didakwa mensabotaj perniagaan kedai serbaneka itu dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!