BILA isu kedai serbaneka KK Mart hangat diperkatakan, Pak Dee sekadar jadi pemerhati saja. Malas atau tak nak jadi ‘nasi tambah’ kepada isu yang sedang panas ketika itu.
Sekarang bila dah lebih seminggu berlalu, keadaan dan suasana pun dah nampak reda, barulah Pak Dee nak menitip sikit pandangan, pendapat, nasihat, kritikan dan teguran dalam isu ini.
Sepanjang menjadi pemerhati, Pak Dee tengok hanya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh yang paling lantang mempertahankan agama Islam dari diperlekeh dan dipermainkan orang-orang tak bertanggungjawab.
Yang lain-lain seperti Pemuda Pas yang mendakwa parti mereka membangun dan menjunjung Islam, senyap. Begitu juga Pemuda Amanah, Pemuda Bersatu dan Pemuda PKR, semua senyap.
Pak Dee faham kenapa mereka senyap. Mereka lebih utamakan persahabatan dengan kaum bukan Islam. Mereka nak tegur pun kena ibarat tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak.
Suara mereka hanya kedengaran pun selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan anakanda baginda Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menghina Islam.
Pak Dee rasa kalau baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor senyap, semua akan senyap, kecuali Dr. Akmal yang berseorangan dari awal hingga akhir bersuara dalam isu penghinaan kalimah Allah oleh KK Mart.
Betul, bukan KK Mart yang jual stoking itu. Pengedar rasmi kedai itu yang letak stiking di kedai itu. KK Mart sediakan ruang untuk pengedar letak dan jual produk masing-masing. Tetapi, sebagai tuan rumah kepada pengedar-pengedar, KK Mart kena patut ada rasa tanggungjawab untuk periksa dan semak semua barang-barang yang dibawa masuk ke rak untuk jualan.
Terlalu percaya atau longgar sangat syarat dikenakan kepada pengedar pun tak boleh juga. Mana kita tahu dalam ramai-ramai pengedar, ada seorang dua yang busuk hati, buruk perangai terhadap kita. Diletaknya produk salah atau haram, menangis tak berlagu la.
Dan, memang betul tekaan Pak Dee, kerana inilah yang berlaku kepada KK Mart. Kerana terlalu percayakan pengedarnya, akhirnya memakan diri sendiri. Semua pengurusan KK Mart kena kecam, kena kutuk, kena sumpah seranah dan kena panggil soal siasat.
Tika itu, panggillah semua pemegang taruh, ahli lembaga buat mesyuarat tergempar pun dah tak guna. Buat permohonan maaf dan beri pelbagai alasan pun sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Umat Islam sudah terguris.
Ini yang dikatakan, kalau Allah nak tarik nikmat seseorang, dalam sekelip mata sahaja Allah lakukan. Tetapi, manusia tak pernah mahu ambil pengajaran dari insiden yang lepas-lepas.
Dalam al-Quran sudah jelas Islam itu agama yang benar. Dan, dalam Perlembagaan Negara juga sudah termaktub, Islam itu agama Persekutuan. Tidak ada agama lain boleh mengatasi agama Islam, tetapi tidak dihalang untuk penganutnya beramal dengan agama masing-masing, asalkan jangan sentuh agama orang lain.
Dalam undang-undang juga sudah jelas dinyatakan, mana-mana penganut agama lain tidak boleh menghina agama Islam. Begitu juga yang beragama Islam tidak boleh menghina kepercayaan agama lain.
Ini yang dipanggil majmuk. Hidup bermasyarakat dengan penuh keharmonian walaupun berlainan agama. Tetapi, dalam selalu peringatan ini diperingatkan, masih ada juga yang mengambil kesempatan nak gugat keharmonian.
Mereka dengan sengaja bermain dengan sentimen keagamaan. Menyentuh sensitiviti penganut-penganut agama yang ada di Malaysia dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan, kekacauan dan ganggu-gugat.
Jadi, apa yang Pak Dee nak titipkan di sini, inilah yang berlaku kalau ada pihak cuba menjolok sarang tebuan. Bila tebuan mengamuk, tiada maaf bagi mu. Dan, inilah yang berlaku kepada KK Mart.
Buat perkara ditegah ni memang seronok, tapi bila kena cekup, bila sudah terhantuk baru nak tengadah. Minta maaf berjela-jela pun tak guna lagi.
Dan, dalam bab KK Mart ni, mereka patut berterima kasih kepada umat Islam Malaysia. Walaupun kalimah Allah Yang Maha Suci disentuh, umat Islam tidak seagresif seperti saudara seagamanya di negara-negara lain.
Kemarahan umat Islam di Malaysia tidak sampai tahap nak bakar kedai. Tidak sampai tahap nak berhimpun depan kedai. Umat Islam Malaysia cukup berdisiplin dalam mengajar pihak yang menghina agamanya. Iaitu, boikot.
Mereka tidak masuk membeli di kedai KK Mart. Mereka gunakan kuasa membeli mereka di kedai-kedai Muslim.
Jadi, KK Mart mahupun rakan-rakan yang sewaktu dengannya tak boleh marah kepada Muslim kalau kedai mereka tidak lagi dikunjungi. Kami sebagai umat Islam, kami patuh pada ajaran agama kami, yang minta kami berdisiplin dalam semua hal. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!