BERITA UTAMA

Stoking kalimah Allah: Kertas siasatan lengkap, polis tunggu arahan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes penjualan stoking tertera kalimah Allah dan menyarankan supaya dibuat pertuduhan terhadap pihak berkaitan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan selanjutnya dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata, siasatan itu melibatkan pihak kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan vendornya iaitu sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading di Johor.

“Setakat ini 143 laporan (mengenai kes itu) diterima dan 174 saksi telah diambil keterangan termasuk kakitangan serta pemandu lori kedai serbaneka itu, selain 14 pasang stoking yang tertulis kalimah Allah telah dirampas.

“Kita telah menyarankan untuk tuduhan, namun masih menunggu arahan terakhir dan terkini daripada pihak AGC. Sebaik sahaja terima maklumat, kita akan maklumkan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kes melibatkan KK Super Mart itu memberi kesan kepada rakyat Malaysia beragama Islam, selain mendapat reaksi tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan kemurkaan baginda.

“Saya sendiri agak terkesan dengan kes ini, tetapi apabila menyarung pakaian seragam polis, siasatan yang dilakukan haruslah mengikut lunas undang-undang,” katanya yang mengingatkan semua pihak agar bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri berkaitan isu itu.

Beliau turut menyarankan kepada golongan agamawan mengambil sikap ke arah lebih menenangkan keadaan kerana tindakan telah diambil dan mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang.

Baru-baru ini video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sabtu lepas pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *