BERITA UTAMA

Pembangkang sudah terima draf peruntukan Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR – Selesai pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan pihaknya sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengesahkan perkara itu pada sidang Dewan Rakyat semalam, berhubung pertemuannya yang turut dihadiri Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di pejabat Fadillah di Putrajaya.

Menurut beliau, pihaknya sudah mendapat satu kertas draf untuk berbincang, menandatangani dan kemudian dapat peruntukan.

“Cuma kita nak melihat perkara (dan) syarat yang ada dalam itu,” katanya ketika mencelah penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai langkah pemerkasaan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Terdahulu, Saifuddin Nasution menegaskan, tiada keperluan untuk melakukan filem lanjutan Anwar: The Untold Story bagi menceritakan kisah pihak yang mengkhianati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang perjalanan politiknya sebagaimana dicadangkan RSN Rayer (PH–Jelutong).

Beliau bagaimanapun, menyifatkan Anwar seorang yang memandang ke hadapan dan pemaaf.

Rentetan itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Bukit Larut bangkit membidas kenyataan Saifuddin Nasution mengenai pemimpin harus memaafkan.

“Saya sokong sangat apa Yang Berhormat sebut, bila jadi pemimpin, kita harus memaafkan apa sahaja yang kurang baik.

“Sebab hari ini saya nampak dia (Anwar) nak memaafkan, tetapi yang jadi macam menzalimi kepada pembangkang.

“Jangan kita mengangkat seseorang itu tanpa melihat tindakan yang dilakukan, jangan sehingga menimbulkan polemik di negara bahawa pemimpin ini cakap tak serupa bikin,” ujarnya yang dipetik Sinar Harian. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *