SEORANG penyair Russia yang mengkritik pencerobohan negaranya ke atas Ukraine dalam puisi empat baris dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, kata kumpulan hak asasi, OVD-Info semalam.
Alexander Byvshev, 51, didakwa menulis puisi itu di Facebooknya pada Mac 2022. “Rockets are hitting Ukraine. The Kremlin has rejected conscience and morality,” (Roket sedang melanda Ukraine. Kremlin menolak hati nurani dan moral),” katanya.
Pada baris terakhir, Byvshev bertanya kepada tentera mengapa tidak ada “Stauffenberg” Russia, merujuk kepada pegawai tentera Jerman Claus von Stauffenberg yang cuba membunuh Adolf Hitler.
Pendakwa raya menganggap puisi itu sebagai ancaman bunuh terselindung terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin dan mendakwa Byvshev dengan “seruan untuk keganasan”, kata OVD-Info.
Mereka juga mendakwa Byvshev menyebarkan maklumat “palsu” mengenai tentera Russia, selepas dia menyiarkan imej sebuah perkampungan Ukraine dalam runtuhan di media sosial.
Byvshev, dari wilayah barat Oryol, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah Moscow Selasa lalu, menurut OVD-Info.
Kremlin menjadikan tindakan menentang perang sebagai jenayah sejurus selepas ia menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022, dengan ribuan ditahan kerana tindakan protes mudah.
Sejak melancarkan serangannya di Ukraine, Moscow melancarkan tindakan keras yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap perbezaan pendapat, yang diumpamakan kumpulan hak asasi manusia dengan penindasan besar-besaran era Soviet.
Kelmarin, Mahkamah Saint Petersburg memenjarakan seorang pembuat filem Russia selama tiga tahun selepas tertuduh membuat catatan antiperang di media sosialnya sejurus perang bermula. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!