PUTATAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang mungkin menyaksikan pemilihan serentak membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia terpulang kepada penyandangnya Datuk Ir. Shahelmey Yahya untuk membuat keputusan mengenainya.
“Keputusan di tangan dia (Shahelmey), kalau dia bertanding bermakna dia ikut peraturanlah. Dia kena letak jawatan selaku Ahli Parlimen.
“Bermakna akan ada pemilihan serentak sebab itu bukan peraturan kita, itu peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Zon 2 UMNO Sabah di Masjid Al-Hilal, Kampung Contoh, di sini pada malam Sabtu.
Diminta mengulas lanjut UMNO bersedia untuk meletakkan calon di kawasan tersebut, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memaklumkan, ada banyak calon yang boleh diketengahkan.
Untuk rekod, Shahelmey yang menyandang kerusi Parlimen Putatan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat digantung keahlian dalam UMNO selepas bertindak menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah tahun lalu.
Susulan keputusan UMNO menggantung keahliannya menyebabkan beliau tidak boleh bertanding pada PRN akan datang bagi mengekalkan kerusi disandang, melainkan terpaksa keluar dari UMNO untuk bertanding atas tiket parti lain.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kerusi tradisi UMNO yang kini sudah disandang oleh parti lain, Bung Moktar memaklumkan akan membuat kajian berhubung perkara itu.
“Pada satu ketika memang ada kerusi yang dimiliki UMNO, tetapi kita pinjamkan dengan rakan-rakan lain. Jadi, mungkin ketika ini kita akan buat kajian sekiranya UMNO masih boleh menang di situ, maka kita akan bertanding.
“Tetapi, kita belum putuskan (berapa kerusi yang akan ditandingi), takkan kawasan Cina pun kita bertanding. Sabar kita akan putuskan nanti,” katanya sambil menyatakan akan fokus pada kerusi yang boleh dimenangi. – SINAR HARIAN
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!