Harimau Malaya belasah Nepal sebelum bertemu Oman

KUALA LUMPUR – Malaysia menampilkan kelas tersendiri apabila membelasah pasukan ranking dunia ke-175, Nepal 5-1 pada perlawanan ujian tertutup di Stadium UiTM Shah Alam, lewat malam tadi.

Perlawanan itu merupakan kali pertama skuad Harimau Malaya beraksi sejak kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas dan satu-satunya aksi pemanas badan dalam menghadapi dua aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini.

Pada perlawanan yang dijalankan secara empat separuh masa selama 140 minit itu, Malaysia mendahului 4-0 hasil dua gol Darren Lok pada minit ke-31 (penalti) dan minit ke-35, diikuti jaringan Stuart Wilkin dan Daniel Ting masing-masing pada minit ke-46 dan minit ke-48.

Nepal berjaya membolosi gawang negara apabila Sameer Tamang menjaringkan gol tunggal pasukan pada minit ke-68 sebelum Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Kim Pan Gon menerusi jaringan pada minit ke-135.

Malaysia di kedudukan ke-132 dunia, dijadual bertemu Oman (ke-80 dunia) di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac ini (22 Mac, 2 pagi waktu Malaysia) dan aksi di tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Pasukan negara yang menyasarkan untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali, dijadual berlepas ke Muscat pagi esok. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *