KUALA LUMPUR – Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan pesawat ringan Blackshape BK 160TR yang terhempas di ladang kelapa sawit, Kapar, dekat Klang pada 13 Februari lalu, pecah di udara.
Siasatan insiden yang mengorbankan nyawa juruterbang bersama seorang penumpang itu dinyatakan dalam laporan awal BSKU yang dikeluarkan hari ini.
“Serpihan sekitar kawasan itu menunjukkan kepingan struktur besar pesawat terpisah dari rangka utamanya ketika pesawat dalam penerbangan sebelum terhempas di ladang kelapa sawit.
“Tidak ada petunjuk menandakan berlaku kebakaran sebelum atau selepas pesawat itu terhempas berdasarkan serpihan ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut laporan itu, tidak mungkin mereka yang berada dalam pesawat boleh terselamat bersandarkan kepada impak junaman pesawat berkenaan
Laporan BSKU menyatakan, pesawat itu mempunyai larangan tidak terbang atau tidak dibenarkan terbang, manakala jadual penyelenggaraan berkala didapati tidak teratur.
Malah, ada ketikanya penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik tidak bertauliah.
“Ada bukti menunjukkan pesawat berkenaan melepasi berat pelepasan maksimum iaitu 850 kilogram,” kata laporan itu.
Pada 13 Februari lalu, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, mengorbankan juruterbang dan pembantunya.
Pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC, dikendalikan Air Adventure Flying Club itu difahamkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bagi tujuan penerbangan rekreasi.
Insiden itu berlaku kira-kira tujuh bulan selepas tragedi pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam.
Nahas pada 17 Ogos tahun lalu itu mengorbankan 10 individu, termasuk orang awam yang kebetulan berada di lokasi insiden terbabit. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com