BERITA UTAMA

MAPIM gesa umat Islam henti beriftar mewah sepanjang Ramadan

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa umat Islam di negara ini menghentikan tabiat berbuka puasa secara bermewahan sepanjang Ramadan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dengan promosi berbuka puasa di hotel yang sangat mewah, semangat Ramadan sebenar akan terhakis dan pembaziran pula menonjol.

“Kita harus insaf Ramadan tidak harus jadi pesta makan sehingga lupa matlamat berpuasa untuk mendidik hidup berjiwa sederhana dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Apatah lagi dalam keadaan jutaan umat Islam ditindas di Palestin, Kashmir, India, Myanmar dan Turkistan Timur. Musibah yang melanda mereka sangat kritikal.

“Umat Islam menjadi mangsa sehingga mengalami kebuluran, hilang tempat kediaman, terpaksa hidup dalam keadaan sangat daif tanpa makanan dan air bersih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Mohd Azmi lagi, dalam bab membazir dan pembuangan makanan terutama di bulan Ramadan, umat Islam negeri ini antara penyumbang.

Jelas beliau, dilaporkan rakyat Malaysia membazir 16,720 tan makanan setiap hari di luar bulan Ramadan, manakala pada Ramadan meningkat sehingga 19,228 tan sehari.

“Lebih menyedihkan apabila kira-kira sejuta rakyat Gaza kini mengalami kebuluran yang sangat parah. Ada yang terpaksa makan makanan haiwan dan minum air laut untuk kelangsungan hidup.

“Bulan Ramadan kali ini paling sukar untuk mereka. Oleh itu, MAPIM menyeru, Ramadan kali ini ditumpukan kepada usaha meningkatkan infaq untuk umat Islam yang tertindas.

“Kami juga menyeru budaya membazir dihentikan serta-merta dan umat Islam kembali menumpu kepada amalan paling dituntut iaitu bersedekah untuk golongan yang memerlukan bantuan,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *