BERITA UTAMA
Wira Putra kecewa UMNO sokong penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Israel

Wira Putra setuju adakan PRK di tujuh kerusi

KUALA LUMPUR – Parti Putra menyambut baik cabaran Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengisytiharkan tujuh kerusi milik parti Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan dikosongkan.

Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, inilah masanya untuk Anwar yang merupakan Pengerusi PH menunjukkan kerajaan pimpinannya bersifat syumul dan dikatakan mendapat sokongan rakyat.

“Kita amat bersetuju dengan Muhyiddin yang mencabar Anwar mengisytihar tujuh kerusi PN yang menyokong Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor itu dikosongkan agar diadakan pilihan raya kecil.

“Anwar perlu tunjuk kepada rakyat bahawa cabaran Muhyiddin yang PN boleh menang dan mempertahankan kerusi itu pada PRK ini adalah meleset sama sekali.

“Jika Anwar setuju, dia secara tidak langsung telah membuktikan kerajaan Madani adalah pilihan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin mencabar kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan.

Ia berikutan Ahli Parlimen dan ADUN dari Bersatu di kerusi itu beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Muhyiddin menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi PRK di semua kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, beliau tidak yakin Anwar akan sahut cabaran itu kerana kerajaan Madani pimpinan PH dan BN adalah retorik serta masih mahu menyekat kebebasan rakyat untuk membuat pilihan dan mengamalkan demokrasi yang sudah mati.

Menurut beliau, pindaan Akta Lompat Parti bertujuan menghalang Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada menyalahguna proses demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat.

Namun, alasan menyokong Anwar dan Amirudin Shari kerana mahu menjaga rakyat dan demi negara itu adalah tidak munasabah serta tidak berasas.

“Untuk apa mereka beralih sokongan? Untuk dapatkan dana pembangunan dan aktiviti di kawasan?

“Rakyat juga boleh menilai Ahli Parlimen yang terlibat benar-benar jujur atau ada agenda lain dan mengalih sokongan kepada pemimpin berlainan parti adalah sama niat serta tujuan seperti melompat parti.

“Sekiranya mereka jujur, kosongkan kerusi secara sukarela, berikan rakyat kuasa semula untuk membuat pilihan dan mandat di tujuh kerusi itu bawah lambing PH-BN,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *