SAN FRANCISCO – Sebiji tayar pesawat milik United Airlines tercabut ketika beberapa saat berlepas dari Lapangan Terbang San Francisco pada jam 11.35 pagi tadi.
Pesawat model 777-200 itu dijadualkan dalam penerbangan ke Osaka, Jepun dan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Los Angeles serta dilaporkan selamat mendarat.
Syarikat industri penerbangan Boeing yang bertanggungjawab ke atas pesawat itu kini berdepan dengan isu keselamatan dan kualiti berikutan berlaku beberapa insiden melibatkan jentera keluarannya.
Ketika penerbangan, pesawat itu membawa penumpang seramai 249 penumpang dan video yang diperoleh dari RadarBox jelas menunjukkan sebiji tayar milik pesawat berkenaan telah tertanggal sejurus berlepas dari landasan.
Tayar itu kemudiannya melantun dan menghentam beberapa kereta yang terdapat di ruangan tempat letak kenderaan kakitangan di lapangan terbang berkenaan yang menyebabkan berlakunya kerosakan.
“Pesawat 777-200 mempunyai enam roda di setiap gear pendaratannya. Ianya direka untuk mendarat dengan selamat walaupun terdapat tayar yang rosak atau hilang,” ujar United Airlines menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menyedari akan insiden berkenaan, pesawat itu kemudiannya dilencongkan dan selamat mendarat di lapangan terbang Los Angeles yang kemudiannya dibantu oleh pihak bomba.
Kesemua penumpang yang terlibat akan diberikan tiket penerbangan yang baharu dan dijadualkan berlepas pada malam hari yang sama, sementara pihak United Airlines dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyiasat insiden berkenaan.
Boeing ketika ini mendapat kecaman mengenai kualiti pesawatnya di mana sebelum ini, pintu pesawat Boeing 787 Max telah tercabut ketika sedang terbang di udara. Tiada kecederaan berlaku namun operasi kesemua pesawat tersebut telah digantung selama 19 hari. – Reuters
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com