BERITA UTAMA

Sultan Ibrahim kurnia kereta kepada pelbagai lapisan iktiraf sumbangan dan khidmat cemerlang

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-Yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Selain kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan-Yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas.

Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat.

Contohnya, pada tahun 2010 Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 2018, Baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor.

Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pada September 2020.

Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.

Hari ini, 8 Mac 2024, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; dan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md. Salleh.

Turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah kepada mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Kurniaan daripada Seri Paduka Baginda disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim.

Kurniaan Seri Paduka Baginda adalah sebagai mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang. – NasionalDaily

Sumber: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *