BERITA UTAMA

Syarikat Australia mahu teruskan pelaburan RM24.5 bilion di Malaysia – Anwar

PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia berjaya menarik minat banyak syarikat untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada.

Jumlah pelaburan berjumlah RM24.5 bilion itu dimaklumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Menurut Bernama, Anwar dilaporkan berkata, antara syarikat Australia yang akan membawa potensi pelaburan itu ialah syarikat pengendali pusat data iaitu AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC kira-kira RM3 bilion.

“Lynas pula berminat menambah pelaburan kira-kira RM1 bilion, manakala syarikat lain yang akan membawa potensi pelaburan tersebut adalah Fortescue, Macquarie Group dan Arnott’s Group.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan serta menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka terhadap dasar yang telah kita umumkan selama ini,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pelaburan tersebut akan membuka peluang kepada kira-kira 1,200 tenaga mahir di Malaysia.

Menurutnya, jumlah potensi pelaburan yang akan memasuki Malaysia juga melebihi jangkaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dari segi perdagangan lebih RM900 juta dijangka diraih melalui potensi jualan eksport Malaysia ke Australia melibatkan produk seperti urea, kayu, makanan dan komponen elektrik.

Ujar beliau lagi, usaha kerajaan memberi penjelasan untuk menjawab sebarang kegusaran dan kemusykilan itu meyakinkan pelabur dan ahli perniagaan Australia terhadap prospek Malaysia. – NasionalDaily

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk and bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *