KUALA LUMPUR – Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) menyambut baik usaha kerajaan untuk mengkaji status permohonan bagi perjawatan tetap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Presidennya, Datuk Seri Ramle Mat Daly berkata, pihaknya menaruh keyakinan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadikan usaha itu sebagai kenyataan tidak lama lagi.
Ini kerana, katanya, APM antara barisan hadapan negara telah menunjukkan khidmat cemerlang dan terbaik dalam kerja menyelamat dan menjaga kebajikan orang ramai yang ditimpa musibah seperti kemalangan di darat, udara dan laut.
Di samping itu, katanya, APM juga sentiasa berganding bahu bersama NADMA, pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) dalam pelbagai situasi kecemasan.
“Kita yakin apa yang diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam, akan menjadi kenyataan tidak lama lagi dan menambahkan semangat warga APM dalam menjalankan tugasan menyelamat.
“Penyertaan anggota APM ini dapat meringankan tugasan dan beban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi penguatkuasaan lain dalam kerja SAR,” katanya kepada NasionalDaily di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, status permohonan bagi perjawatan tetap anggota APM akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, beliau sendiri telah mengemukakan permohonan berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ahmad Zahid turut mengucapkan penghargaan kepada warga APM yang telah dengan penuh dedikasi menjaga keselamatan rakyat dan selama tujuh dekad berkhidmat cemerlang sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily