KUALA LUMPUR – Kempen menyertai kerja di sektor perkhidmatan awam seharusnya mencakupi semua kaum bukan khusus untuk satu bangsa sahaja.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh berkata, kaum India dan lain-lain bangsa juga perlu diberi galakan terutama dalam bidang ketenteraan yang kurang penyertaannya di kalangan bukan bumiputera.
“Kita sambut baik, tetapi bukan galak kepada kaum Cina sahaja, ia patut digalakkan kepada kaum India dan kaum-kaum lain juga,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai yang dilaporkan berkata, kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka Ahad ini.
Memetik laporan Sin Chew Daily, Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam agak rendah.
Katanya, ketika kempen itu berlangsung, penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal turut meminta kerajaan menghalang mana-mana syarikat swasta dalam negara ini mengenakan syarat mengambil pekerja berdasarkan kaum mereka sahaja ataupun syarat untuk tahu berbahasa, selain daripada bahasa Melayu
Katanya, mungkin sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan satu aliran juga mesti dilaksanakan. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily