BERITA UTAMA

MAIK perkenal Skim Ta’awun Pegawai Masjid Mukim

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenalkan Skim Ta’awun Pegawai Masjid Mukim bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, skim yang diperkenalkan itu berkonsepkan sama dengan program takaful.

Beliau berkata, skim itu adalah perlindungan perubatan dalam bentuk sumbangan kepada Pegawai Masjid Mukim yang ditimpa musibah penyakit biasa mahupun kritikal, termasuk juga yang telah dimasukkan ke wad bagi tujuan rawatan.

“Kita dapati terdapat Pegawai Masjid Mukim yang tidak mampu menanggung kos rawatan perubatan yang tinggi, maka skim ini dapat membantu meringankan beban pegawai berkenaan untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.

“Skim ini akan mula berkuatkuasa setelah mendapat ampuni perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Selain itu, MAIK juga turut melancarkan sistem e-Penyata Elaun untuk kegunaan semua Pegawai Masjid Mukim

Tengku Mohamad Rizam berkata, ia bagi memudahkan para Pegawai Masjid Mukim untuk mencetak penyata elaun bulanan dan juga tahunan bagi tujuan tertentu.

“Pihak bank juga telah menerima penyata ini sebagai dokumen sah bagi mendapatkan fasiliti yang disediakan oleh pihak perbankan

“Mereka tidak lagi perlu hadir ke pejabat untuk mendapatkan surat pengesahan bayaran elaun bulanan, sebaliknya boleh akses ke aplikasi yang disediakan dan terus mencetaknya,” katanya. – NasionalDaily

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *