BERITA UTAMA

Dana RM2 bilion untuk bantu usahawan bumiputera – Asyraf

KUALA LUMPUR – Hampir 70 resolusi dihasilkan sepanjang tiga hari Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 berlangsung dari 29 Februari hingga 2 Mac semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua resolusi yang dihasilkan itu adalah untuk memartabatkan agenda sosio-ekonomi bumiputera.

Katanya, ia diambil melalui pendekatan ‘bottom-up’ dalam sesi libat urus yang telah diadakan sejak Disember tahun lalu melibatkan daripada 10 kluster berkait rapat dengan agenda bumiputera.

“Alhamdulillah, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung sejak khamis lalu melabuhkan tirai petang ini dengan ucapan penutup oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kongres yang berlangsung selama tiga hari ini telah berjaya menghasilkan hampir 70 resolusi untuk memartabatkan agenda sosio-ekonomi bumiputera.

“Perdana Menteri telah menyatakan komitmen dapatan kongres ini akan dicerakin untuk diterjemahkan dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera dalam masa 10 tahun akan datang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Anwar turut mengumumkan kewujudan Tabung Waqaf MARA MADANI dengan peruntukan dana RM1 bilion.

Kata Asyraf, dana itu akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk agenda pembangunan usahawan, di samping menyediakan pembiayaan RM500 juta sebagai galakan bagi membangunkan tanah wakaf.

“Pembangunan ini bertujuan dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah mampu milik yang dilihat bakal memberi impak besar kepada agenda pemerkasaan bumiputera ini.

“Selain agenda pemerkasaan TVET, Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera juga dilihat sebagai ‘take-away’ penting dalam KEB ini.

“Semoga hasil dapatan KEB ini akan terus membawa kepada agenda pelaksanaan yang dipantau oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi memacu ekonomi negara ke arah yang lebih mampan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *