KUALA LUMPUR – Dua warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan 13 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, di sini, pagi ini.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 pagi mengenai kebakaran rumah setinggan di hadapan Scoot Garden.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, pasukan bomba dari tujuh balai telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Kebakaran yang berlaku telah menyebabkan 13 rumah setinggan hangus terbakar. Keluasan keseluruhan kawasan perumahan tersebut adalah 100 kaki persegi dan terbakar 100 peratus.
“Sejumlah 46 anggota bomba pelbagai pangkat bertugas dalam operasi itu bersama enam jentera FRT, dua jentera Water Tanker, dua kenderaan Unit EMRS serta jentera ALP (air lifting platform).
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air daripada jentera dan water tanker,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Armdan, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.05 pagi dan operasi pemadaman telah dijalankan sehingga selesai.
Ujarnya, dalam kejadian itu, pasukan bomba telah menjumpai dua mangsa yang telah rentung di bawah runtuhan bumbung rumah.
“Kedua-dua mangsa dikenalpasti adalah warga emas berusia 60-an dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – NasionalDaily