Oleh: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
BAHAGIAN binaan yang bersatu dengan struktur masjid yang sudah sedia siap tidak boleh sewenang-wenangnya ditukar kepada kawasan bukan masjid. Sedangkan sebelum itu tempat itu diketahui umum sebagai masjid.
Sebagai contoh, kawasan beranda masjid menurut hukum asal adalah termasuk kawasan masjid.
Orang berjunub tidak boleh menetap di kawasan itu dan sah untuk didirikan solat tahiyyatul masjid dan iktikaf.
Tiba-tiba datang pengurusan atau naqib baharu terus wartakan beranda masjid bukan kawasan masjid sesuka hati.
Kenapa tidak boleh? Hukum asal bagi tempat yang telah di’sighah’kan sebagai “wakaf masjid” tidak boleh ditukar kepada wakaf selain masjid atau bukan wakaf.
Oleh itu, kawasan beranda masjid sudah sediakala dan lama diwartakan sebagai kawasan wakaf masjid sama sekali tidak boleh ditukar kepada bukan wakaf atau kepada wakaf selain masjid.
Apabila sesuatu tempat itu diwakafkan sebagai masjid maka ia selama-lamanya masjid dan tidak ada apa yang boleh merubahnya.
Kalau tidak dapat dipastikan pada zaman dahulu sesuatu kawasan itu diwartakan sebagai kawasan masjid atau tidak, jalan penyelesaiannya hanya melihat kepada hukum yang telah ditetapkan oleh fuqaha.
Sebagai contoh, beranda masjid di sisi ulama Syafi’iyyah adalah sebahagian daripada masjid dan hukumnya sama seperti masjid.
Ini kerana hukum asal bagi kawasan yang berada dalam bangunan masjid hukumnya adalah masjid juga. Oleh itu, hukum ini perlu diambil sebagai sandaran kerana ulama lebih memahami hukum hakam.
Melainkan kawasan itu tidak diwartakan sebagai kawasan masjid sejak pelan pembinaannya atau penambahan binaan barulah tidak dikira sebagai hukum masjid.
Selain itu pembahagian kawasan bangunan itu termasuk sebahagian daripada masjid atau tidak hendaklah merujuk kepada ‘urf setempat seperti bilik pejabat, dapur, tandas, dan kaki lima masjid tidak termasuk sebagai hukum masjid. Wallahu A’lam. – NasionalDaily
Sumber: FB M Firdaus Baharuddin