KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan sudah memulakan siasatan berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang disiarkan di portal berita milik parti itu pada 20 Februari lalu yang didakwa ditujukan kepada beberapa pihak termasuk raja Melayu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, keterangan Abdul Hadi belum dirakam lagi setakat ini kerana beliau masih tidak sihat,” katanya pada BH, hari ini.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan sinis Abdul Hadi yang disiarkan menerusi portal pas.org.my itu yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta raja Melayu.
Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri bertarikh 27 Februari 2024.
Antara inti pati surat berkenaan ialah baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda pada mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari lalu.
Ia khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Alamin Jenayah Syariah Kelantan 2019.
Kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
Ia satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian dan tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati serta memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada raja Melayu.
Kenyataan Abdul Hadi mengkritik hakim yang dikatakan gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya dicipta dan digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air.
Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini. – NasionalDaily