Orang ramai dinasihat rancang aktiviti, elak cuaca panas sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan cuaca panas membahang ketika ini, orang ramai diingatkan agar mengambil langkah pencegahan terutama sepanjang Ramadan minggu depan.

Peringatan itu dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang meminta orang ramai merancang aktiviti dengan mengelakkan daripada berada di luar rumah pada waktu puncak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, waktu puncak cuaca panas adalah antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

Katanya, mereka diminta kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

“Selain itu, kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat; dan golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

“Langkah lain seperti awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas; elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap serta hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

“Orang ramai juga boleh mengambil langkah pencegahan dengan hadkan tempoh berada di luar bangunan; gunakan kipas, penyaman udara atau kerap mandi untuk menyejukkan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihat orang ramai mengelakkan diri berada dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan semasa cuaca panas dan dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.

Menurut Dr. Muhammad Radzi, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan dan rasa mual. Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan koma,” ujarnya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *