KUALA LUMPUR – Pas menafikan satu poster yang tular berhubung Himpunan Pertahankan Kepimpinan Ulama kononnya diadakan selepas solat Jumaat tengah hari ini.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, poster itu adalah palsu dan menasihat pihak terbabit supaya bertaubat kerana telah menyebarkan fitnah terhadap Pas.
“Semoga Allah membalas tangan-tangan yang menyebar fitnah.
“Kita serahkan urusan mereka kepada Allah Yang Maha Besar. Tak padan dengan upah yang dapat. Dengan wang itu jadi darah daging mereka dan anak isteri mereka,” katanya ringkas menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Dalam poster itu kononnya Pas mengajak orang ramai hadir ke “Himpunan Pertahankan Kepimpinan Ulama – ulama pewaris Nabi usah mencabar ketinggian Islam” selepas solat Jumaat.
Poster itu turut mencatatkan tarikh himpunan hari ini 1 Mac 2024, masa selepas solat Jumaat dan lokasinya di masjid-masjid negeri seluruh negara dan siaran langsung TV Pertiwi.
Turut terpapar logo Dewan Himpunan Penyokong Pas, Dewan Ulamak Pas Pusat, Perikatan Nasional dan NGO ISMA. – NasionalDaily