KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman berjumlah RM300 juta terhadap Google LLC berhubung dakwaan kecuaian syarikat teknologi itu mengendalikan kandungan yang didakwa palsu, mengelirukan dan berbaur fitnah, diterbitkan semula oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menerusi platform YouTube.
Saman itu difailkan pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Sitham & Associates. Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini menerusi e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC mendakwa Google gagal melaksanakan tanggungjawab statutori di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya apabila membenarkan kandungan yang dipertikaikan terus berada di YouTube walaupun sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Menurut MCMC, pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri menerusi saluran YouTube berkenaan.
Susulan itu, MCMC mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober lalu, namun mendakwa syarikat berkenaan gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk menilai, menyiasat dan mengalih keluar kandungan berkenaan dalam tempoh munasabah.
MCMC turut mendakwa Google tidak mengambil langkah proaktif untuk menyekat atau mengehadkan akses kepada hantaran yang dipertikaikan, termasuk saluran YouTube yang dikaitkan dengan individu berkenaan.
Suruhanjaya itu berhujah kegagalan Google bertindak menyebabkan kandungan terbabit terus disebarkan dan diterbitkan semula, sekali gus menjejaskan persepsi serta kredibiliti pemimpin negara dan menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi awam.
Kandungan berkenaan didakwa mengandungi maklumat palsu, mengelirukan dan tidak berasas berkaitan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta perkara yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sehubungan itu, MCMC memohon deklarasi mahkamah bahawa Google, sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan suruhanjaya berhubung penurunan kandungan dan penyekatan akses kepada bahan yang melanggar undang-undang Malaysia.
MCMC juga memohon deklarasi bahawa Google telah melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pengguna di Malaysia apabila membenarkan kandungan dalam talian yang didakwa memudaratkan terus tersedia di YouTube.
Antara relif yang dimohon ialah perintah injunksi supaya Google meneruskan sekatan terhadap akaun YouTube berkenaan serta mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, sama ada dimuat naik melalui akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk siaran langsung.
Dalam tuntutan itu, MCMC turut memohon ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing sebanyak RM100 juta, menjadikan keseluruhan tuntutan yang dinyatakan berjumlah RM300 juta.
Suruhanjaya itu turut menuntut faedah terhadap ganti rugi yang diberikan, kos prosiding atas dasar indemniti serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, semua dakwaan terhadap Google itu masih merupakan tuntutan pihak plaintif dan perlu dibuktikan melalui prosiding mahkamah. Belum ada keputusan kehakiman yang menentukan sama ada Google bertanggungjawab seperti didakwa.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
