SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia (PERKASA) membidas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menyamakan perjuangan Ketuanan Melayu dan penyatuan orang Melayu dengan fahaman White Supremacy, sambil menegaskan usaha mempertahankan hak serta kedudukan Melayu tidak boleh disamakan dengan ideologi supremasi kaum.
Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor, berkata perbandingan sedemikian perlu dinilai berdasarkan sejarah, konteks dan asas perlembagaan negara, bukannya dibuat secara umum hanya kerana wujud perbezaan pandangan politik terhadap perjuangan Melayu.
Menurutnya, kedudukan orang Melayu mempunyai latar sejarah tersendiri dalam pembentukan Malaysia dan dilindungi menerusi Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153 yang memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.
“Mempertahankan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan bukan bermaksud orang Melayu mahu menguasai, menghina atau menindas kaum lain.
“Perjuangan mempertahankan hak tidak sama dengan perjuangan menafikan hak orang lain. Kedua-duanya perlu dibezakan supaya perbahasan mengenai kepentingan Melayu tidak diseret kepada tuduhan supremasi kaum,” katanya dalam kenyataan media.
Azrol berkata, PERKASA tidak mempertahankan mana-mana pemimpin yang terbabit dalam rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa, walaupun individu terbabit berbangsa Melayu.
Sebaliknya, katanya, setiap individu yang melakukan kesalahan perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira kaum, agama, kedudukan politik atau jawatan yang disandang.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan mengaitkan kesalahan segelintir pemimpin dengan keseluruhan perjuangan penyatuan Melayu, sedangkan kedua-duanya merupakan perkara berbeza.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Jika pemimpin Melayu melakukan rasuah, mereka mesti dikenakan tindakan. Begitu juga pemimpin bukan Melayu yang melakukan kesalahan sama.
“Namun, kesalahan individu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghukum seluruh perjuangan bangsa. Kita boleh menentang rasuah dan pada masa sama mempertahankan hak Melayu. Kedua-duanya tidak bercanggah,” katanya.
Beliau turut menegaskan penyatuan Melayu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai slogan politik atau semangat perkauman, sebaliknya perlu berteraskan integriti, penguasaan ilmu, kekuatan ekonomi, pendidikan dan kepimpinan yang bertanggungjawab.
Menurutnya, perjuangan Melayu turut merangkumi usaha mempertahankan warisan sejarah, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak dan kedudukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Katanya, semua perkara itu perlu difahami dalam kerangka pembentukan negara yang turut mengiktiraf hak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.
Sehubungan itu, PERKASA meminta Mat Sabu menjelaskan asas perbandingan antara perjuangan Ketuanan Melayu dengan fahaman White Supremacy, termasuk bagaimana usaha menyatukan orang Melayu bagi memperkukuh ekonomi, pendidikan dan kedudukan bangsa boleh dianggap menyamai ideologi supremasi kulit putih.
Azrol turut mempersoalkan sama ada seruan mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan kini dianggap sebagai satu bentuk asabiah hanya kerana ia melibatkan kepentingan orang Melayu.
“Perbahasan mengenai isu ini perlu dibuat secara terbuka dan berasaskan kefahaman terhadap sejarah serta Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan gunakan istilah White Supremacy secara sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan persepsi setiap usaha memperjuangkan kepentingan Melayu merupakan ancaman kepada kaum lain,” katanya.
Beliau berkata, perpaduan nasional perlu dibina atas dasar saling menghormati, keadilan dan kefahaman terhadap asas pembentukan negara, bukannya dengan melabelkan perjuangan sesuatu kaum secara umum tanpa membezakan antara perlindungan hak, penyatuan bangsa dan penindasan kaum.
PERKASA, katanya, menolak rasuah, penindasan dan ketidakadilan tanpa mengira siapa pelakunya, namun tetap mempertahankan hak serta kedudukan Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
