KUALA LUMPUR – Polis menyiasat tindakan seorang wanita tidak dikenali yang didakwa menolak seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh, selain memukul kepala adik perempuannya di sebuah pusat beli-belah di sini, susulan kejadian tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 35 saat yang memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan dipercayai susulan insiden itu.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun pada jam 7.39 malam.
“Menurut pengadu, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika beliau berjalan bersama dua anaknya berusia dua dan tujuh tahun sebelum seorang wanita tidak dikenali secara tiba-tiba menolak anak lelakinya dari belakang sehingga terjatuh.
“Wanita itu turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ahmad Azwan berkata, polis memandang serius kejadian itu dan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serta melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
