FLORIDA – Sembilan individu terbunuh selepas sebuah jet perniagaan terhempas di kawasan kejiranan di Florida pada Ahad, menurut Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Sean Duffy.
Kejadian itu berlaku berhampiran Cresthaven di Palm Beach County sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan, tidak jauh dari Mar-a-Lago, resort milik Presiden AS Donald Trump.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah kawah besar terbentuk di jalan kawasan perumahan, dengan serpihan konkrit, bangkai pesawat serta tompokan api bertaburan di sekitar lokasi nahas.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat jenis Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas dan dalam perjalanan ke Bahamas sebelum terhempas.
Duffy menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi yang mengerikan dan memaklumkan FAA telah menghantar sepasukan pegawai ke lokasi bagi membantu siasatan yang diketuai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
“Sama-sama kita mendoakan keluarga dan insan tersayang mereka yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya.
Pejabat Syerif Palm Beach County memaklumkan nahas berlaku di Military Trail, sebuah jalan utama enam lorong yang menempatkan pelbagai premis perniagaan dan restoran.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai mengelakkan kawasan berkenaan dan menggunakan laluan alternatif bagi memudahkan operasi kecemasan dijalankan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, Palm Beach County Fire Rescue mengisytiharkan kejadian tersebut sebagai insiden melibatkan ramai mangsa.
Setakat ini, identiti mangsa yang berada di dalam pesawat belum didedahkan, manakala pihak berkuasa masih menyiasat sama ada terdapat mangsa yang cedera atau terkorban di darat akibat nahas berkenaan.
Punca kejadian belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
