HULU BERANG – Penyertaan pendayung berpengalaman termasuk atlet kebangsaan mewarnai edisi sulung Little Amazon of Terengganu River Challenge (LARC) yang menyaksikan 46 peserta mengharungi perlumbaan kayak sejauh 10 kilometer di Sungai Hulu Berang, Ahad lalu.
Peserta dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan empat kategori itu, sekali gus memperlihatkan daya tarikan acara berkenaan kepada komuniti kayak di luar Terengganu.
Pengarah perlumbaan, Mohd Najib Alias, berkata laluan yang dikategorikan sebagai Kelas 1 itu tetap menuntut keupayaan fizikal dan kemahiran mengendalikan kayak, terutama ketika berdepan arus deras, selekoh tajam serta halangan semula jadi.
Menurutnya, keadaan air cetek di beberapa bahagian sungai turut menambah kesukaran apabila peserta perlu menggunakan tenaga tambahan untuk meneruskan kayuhan hingga ke penamat.
“Jarak 10 kilometer di laluan ini bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan. Peserta perlu bijak menyesuaikan kayuhan dengan keadaan sungai, selain memastikan stamina mencukupi sepanjang perlumbaan,” katanya.
Beliau berkata, maklum balas menggalakkan terhadap penganjuran pertama itu memberi peluang kepada pihak penganjur untuk mempertimbangkan penambahan kategori bagi edisi seterusnya.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Hakimi Abdullah, yang menduduki tempat kedua kategori Campuran Elit, melihat kejohanan seperti LARC sebagai antara usaha penting untuk memperluas peluang pertandingan kepada penggiat sukan kayak tempatan.
Katanya, Malaysia mempunyai keupayaan untuk bersaing di pentas Asia dan Sukan Olimpik, namun usaha membangunkan atlet perlu bermula dengan memperkukuh program akar umbi serta menyediakan lebih banyak kejohanan berdaya saing dalam negara.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau turut berpandangan Hulu Berang mempunyai ciri yang sesuai untuk terus menjadi lokasi pertandingan, termasuk kemudahan akses logistik dan pengalaman perlumbaan sungai yang tersendiri.

“Lokasi ini mempunyai kelebihan tersendiri dan wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan secara berterusan dalam kalendar pertandingan kayak negara,” katanya yang pernah membimbing skuad kanu negara sebagai jurulatih pada Sukan SEA 2011, 2013 dan 2015.
Bagi saingan Lelaki Elit, Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Mustakim Zulkarnain mengungguli perlumbaan dengan catatan satu jam 15 minit 53 saat. Kedua-duanya merupakan pemenang pingat perak pada Kejohanan Dunia Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 di Filipina. Pasukan tuan rumah menamatkan saingan di tempat kedua, diikuti Kamikaze Buga di kedudukan ketiga.
Mohammad Zulhaiqal Mohd Nasri dan Muhammad Aizat Ishak pula menjuarai kategori Terbuka Lelaki dengan masa satu jam 16 minit dua saat.

Kategori Campuran Elit menjadi milik Tuan Muhammad Hidzam Tuan Dolah dan Nur Sarah Adiba Suhaimi yang merekodkan masa satu jam 15 minit empat saat, manakala Nur Aina Natasha Riduan dan Ahmad Haziman Ahmad Rozi muncul juara kategori Campuran Terbuka.
Menggunakan kayak jenis sit-on-top dua tempat duduk (SOT Double), perlumbaan bermula di Jenoba Camp Site, Belukar Bukit sebelum berakhir di CBT Kalang Rengas.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
