Pemuda UMNO Perlu Berani Melangkah, Bukan Sekadar Mewarisi Perjuangan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO perlu diberikan ruang, kepercayaan dan peluang lebih besar untuk memainkan peranan menentukan hala tuju parti, khususnya dalam menghadapi perubahan politik dan cabaran generasi muda hari ini.

Naib Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada pengalaman generasi terdahulu, sebaliknya perlu disokong oleh kemunculan barisan kepimpinan baharu yang mampu membawa pendekatan lebih segar dan selari dengan perubahan zaman.

Beliau berkata, perkara itu antara mesej penting dapat dirumuskan sepanjang Persidangan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara.

Menurutnya, UMNO perlu terus berdiri kukuh atas kekuatan sendiri, selain berani melakukan muhasabah dan menilai semula gerak kerja parti bagi memastikan hala tuju perjuangan kekal jelas.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“UMNO mesti terus kukuh berdiri di atas kaki sendiri, berani bermuhasabah, menilai semula gerak kerja dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk terus menjadi parti yang kuat dalam membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Hairi berkata, Pemuda tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pelengkap dalam struktur parti, sebaliknya perlu menjadi antara penggerak utama perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut melihat gabungan antara pengalaman pemimpin lama dengan tenaga generasi baharu sebagai satu kekuatan yang perlu dipertahankan, khususnya selepas kejayaan BN dalam pilihan raya negeri di Johor.

Katanya, pengalaman generasi terdahulu tetap penting, namun generasi baharu perlu dipersiapkan secara berperingkat untuk memikul tanggungjawab kepimpinan yang lebih besar.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Dalam masa sama, beliau mengakui suara anak muda hari ini semakin kompleks dan tidak lagi tertumpu kepada persoalan politik semata-mata.

Antara isu yang menjadi perhatian generasi muda termasuk peluang pekerjaan, gaji, ekonomi gig, kos sara hidup, pemilikan rumah pertama, pengangkutan awam, keusahawanan serta jaminan masa depan.

“Di gelanggang inilah Pemuda UMNO mesti berdiri. Kita mesti menjadi suara yang memahami keresahan mereka, membawa penyelesaian yang nyata dan memperjuangkan masa depan mereka dengan sepenuh jiwa,” katanya.

Politik perlu bergerak seiring perubahan zaman

Hairi turut menegaskan bahawa perubahan landskap politik dan teknologi menuntut UMNO mengubah pendekatan perjuangannya tanpa mengorbankan prinsip serta asas perjuangan parti.

Katanya, generasi muda hari ini membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu, khususnya dengan pengaruh media sosial, dunia digital dan kecerdasan buatan (AI).

Justeru, katanya, sejarah dan jasa pejuang terdahulu perlu terus dihargai, namun pendekatan parti mesti disesuaikan dengan keperluan semasa.

“Akar jangan dicabut. Prinsip jangan digadai. Tetapi cara kita mendekati rakyat mesti sentiasa diperbaharui,” katanya.

Beliau menyifatkan Pemuda UMNO sebagai generasi jambatan yang perlu menghubungkan sejarah perjuangan parti dengan masa depan, termasuk menggabungkan pengalaman politik dengan teknologi serta idealisme dengan tindakan yang lebih berani.

Dalam perkembangan sama, Hairi merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pemuda UMNO atas komitmen dan kerja keras mereka dalam membantu BN mencapai kemenangan di Johor.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemenangan dalam pilihan raya tidak seharusnya menjadi alasan untuk parti berasa selesa.

“Kemenangan bukan tiket untuk berasa selesa. Kemenangan adalah amanah untuk kita bekerja lebih keras,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh anggota Pemuda UMNO supaya terus menjadi suara kepada generasi muda serta tidak takut melakukan perubahan selagi perubahan itu mampu memperkukuh perjuangan parti.

Menurut Hairi, UMNO mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, namun cabaran utama generasi hari ini adalah memastikan parti itu turut mempunyai masa depan yang panjang.

“Perjuangan ini kita warisi bukan sekadar untuk dijaga, tetapi untuk diserahkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang lebih kukuh daripada saat ia sampai ke tangan kita.

“Dulu, kita berjuang membina bangsa. Hari ini, kita berjuang memastikan bangsa ini punya masa depan,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *