Kembali Menemui Sepanyol: Bahagia yang Tersendiri

Oleh Dr Norhayati Alias

Bahagian Akhir: Kehidupan Di Musim Panas

SEPERTI kebiasaan, setiap kali tibanya musim panas, kehidupan penduduk Sepanyol menjadi lebih rancak dengan pelbagai aktiviti di luar rumah.

Bandar-bandar menjadi lebih meriah kerana penduduk telah kembali aktif dengan pelbagai aktiviti, setelah musim sejuk berakhir. 

๐Ÿ“ž Heda: +6014-808 8897 | ๐Ÿ’ฌ Iqi: +6010-924 2335

Di musim panas atau disebut verano dalam bahasa Sepanyol, semua aktiviti, dalaman atau luaran, dapat dilakukan tanpa halangan lagi.

Dan, menariknya walaupun musim panas kali ini dikatakan mencatatkan suhu yang begitu tinggi hingga mencecah lebih 50 darjah Celsius di sesetengah kawasan, keadaan tersebut tidak menghalang masyarakat Sepanyol daripada meneruskan rutin dan aktiviti harian mereka.

Kehidupan tetap berlangsung seperti biasa, penduduk terus keluar bekerja, bersosial dan menikmati pelbagai aktiviti yang disukai. Jalan-jalan di sekitar bandar dan pekan sentiasa meriah, ceria dan penuh warna.

Dari awal pagi hingga malam, pelbagai aktiviti berlangsung dan orang ramai sentiasa memenuhi ruang-ruang kedai, restoran serta tempat-tempat tumpuan yang lain.

๐Ÿ“ž +6019-936 9846 (Sharifah) | ๐Ÿ’ฌ WhatsApp Tempahan
๐Ÿ“ 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Rebajas

Rebajas merupakan istilah dalam bahasa Sepanyol yang merujuk kepada musim jualan murah atau potongan harga, iaitu ketika pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, aksesori dan barangan rumah ditawarkan pada harga yang lebih rendah daripada biasa.

Musim panas merupakan antara musim yang dinanti-nantikan kerana ia merupakan musim di mana berlangsungnya rebajas ini.

Pusat komersial (centro comercial) menjadi antara lokasi tumpuan bagi penduduk melakukan aktiviti membeli belah. Musim rebajas sentiasa menarik perhatian orang ramai.

Tawaran harga yang biasanya jauh lebih rendah menyebabkan pusat-pusat membeli-belah menjadi lebih meriah dan sesak berbanding hari-hari biasa.

Malah, situasi ini kadangkala menimbulkan keterujaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat sehingga aktiviti membeli-belah menjadi antara topik yang sering diperkatakan, misalnya tentang keterujaan mereka untuk sentiasa berbelanja, dan mendapatkan barang-barang yang dihajati.

 Sepanyol dalam perspektif baharu

Melalui perjalanan yang kembali membawa penulis menelusuri pengalaman baharu ini, penulis mula melihat segala yang dilalui dengan sudut pandang yang lebih mendalam.

Segala yang dilalui tidak lagi sekadar pengalaman seorang pengembara yang singgah untuk melihat, meneroka dan merakam kenangan, tetapi ianya menjadi suatu pengalaman yang lebih dekat kerana penulis berpeluang menyelami dan merasai sendiri kehidupan masyarakat di bumi yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup penulis.

Pengalaman mengajar penulis bahawa kita boleh kembali ke tempat yang sama, tetapi dengan perspektif yang berbeza.

Dahulu, penulis mengenali Sepanyol melalui lensa seorang pelajar yang sedang mengejar impian dan cita-cita akademik.

Setiap pengalaman dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pencarian bidang ilmu yang sedang penulis dalami ketika itu.

Namun kali ini, penulis kembali sebagai seorang ahli akademik dan individu, dengan perspektif yang lebih luas dan matang.

Kepulangan ini bukan sekadar untuk memperkaya pengetahuan dan pengalaman profesional, tetapi juga menjadi ruang untuk memahami kehidupan daripada sudut yang lebih luas.

Ada perkara yang dahulu mungkin tidak begitu diperhatikan, tetapi kini hadir dengan makna yang berbeza.

Justeru, perjalanan kali ini bukan hanya tentang kembali ke sebuah negara yang pernah dikenali, tetapi tentang kembali dengan diri yang telah berubah, pengalaman yang bertambah dan pandangan yang lebih mendalam terhadap kehidupan.

Perjalanan ini membuatkan penulis lebih banyak memerhatikan perkara-perkara kecil yang dahulu mungkin terlepas daripada perhatian.

Perjalanan dari Sevilla ke Soria, dengan kunjungan ke Madrid dan Zaragoza, akhirnya memberikan penulis lebih daripada pengalaman akademik biasa.

 Ia memberikan penulis peluang untuk melihat semula budaya dan kehidupan penduduk Sepanyol melalui perspektif yang lebih matang.

Kebahagiaan dalam Kesederhanaan

Setelah beberapa kali kembali ke Sepanyol, penulis semakin menyedari bahawa keindahan negara ini tidak hanya terletak pada sejarah, seni bina, bahasa atau makanannya sahaja.

Malah ia turut hadir dalam perkara-perkara sederhana, namun bermakna yang dilalui dalam kehidupan sehari-hari, pada pertemuan spontan di tengah jalan, senyuman yang ikhlas dan ramah, serta riuh rendah perbualan ketika menikmati secawan kopi hangat.

Mungkin itulah sebabnya setiap kali meninggalkan bumi bertuah ini, penulis sering merasakan seolah-olah ada sebahagian daripada diri penulis yang turut tertinggal di sini. Kerinduan untuk kembali juga tidak pernah padam.

Bukan semata-mata kerana keindahan tempatnya, tetapi kerana Sepanyol mengingatkan penulis bahawa kebahagiaan tidak semestinya mahal atau sukar untuk dicari.

Ada kalanya, bahagia hadir dalam perkara yang sederhana sahaja, ketika kita belajar menghargai setiap peluang, menikmati setiap kesempatan dan mensyukuri apa yang ada di sekeliling.

Mungkin itulah antara perkara paling berharga yang penulis bawa pulang setiap kali meninggalkan Sepanyol: Kesedaran bahawa dalam kesibukan mengejar pelbagai perkara dalam kehidupan, kita sering terlupa bahawa bahagia juga boleh ditemukan dalam momen-momen kecil yang sederhana.

Dr Norhayati Alias berkhidmat di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Penulis berada di Sepanyol dari 3 Julai hingga 7 Ogos kerana mengikutiย Program Pemantapan Profesional Bahasa Sepanyol yang ditaja oleh Fundacion Duques de Soria dan Carlos V Education, Sepanyol.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *