Oleh: Nur Khadija Sulaiman
BANTEN – Enam mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluas pengalaman pembelajaran antarabangsa menerusi FKIP UNTIRTA Summer Camp 2026 yang menggabungkan aspek kelestarian, budaya, pendidikan dan khidmat komuniti dalam usaha membentuk mahasiswa lebih adaptif serta berwawasan global.
Program anjuran Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA) bertemakan “Learning Sustainability through Culture and Nature” itu menghimpunkan 35 peserta daripada UNTIRTA, USIM dan Mahasarakham University, Thailand.
Penyertaan itu dilaksanakan menerusi pembelajaran dalam talian melalui Massive Open Online Course (MOOC) dan fasa fizikal yang memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang warisan Banten, eko pelancongan, seni tradisional serta pemerkasaan komuniti.
Enam mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM yang terlibat ialah Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhori, Nur Farra Ellisya Mohd Shaari, Nur Adliyana Zulkiflee, Wan Amira Sofea Wan Abd Halim Amir, Irdina Mohd Yusoff dan Sharifah Nur Athirah Syed Mohd Feisal.
Pengalaman lapangan menerusi khidmat komuniti di Desa Pekijing dan penerokaan kearifan tempatan masyarakat Baduy membuka ruang kepada peserta memahami kehidupan masyarakat setempat, membina empati serta memperkukuh keupayaan berkomunikasi dalam persekitaran silang budaya.
Mahasiswa turut didedahkan kepada seni tradisional menerusi latihan ensembel angklung dan gamelan yang menjadi medium untuk memahami warisan serantau selain membina disiplin serta kerjasama dalam kalangan delegasi.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKP USIM, Dr. Kartini Kamaruzzaman berkata, komitmen dan keupayaan enam mahasiswa berkenaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu mencerminkan ciri graduan holistik yang diperlukan dalam menghadapi cabaran global.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Mereka membuktikan keupayaan beradaptasi dengan budaya baharu secara pantas, berdisiplin tinggi dan proaktif membina jaringan serantau bersama peserta dari Thailand dan Indonesia, sekali gus mencerminkan kualiti graduan holistik yang bersedia mendepani cabaran global,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman silang budaya dan jaringan antarabangsa yang diperoleh perlu dimanfaatkan selepas peserta kembali ke kampus dengan berkongsi pengetahuan serta menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai mahasiswa dalam program mobiliti global.
“Saya berharap mereka dapat bertindak sebagai agen perubahan sosial yang positif dan berkongsi pengalaman ini secara meluas bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa lain supaya lebih berani menyertai program mobiliti antarabangsa,” katanya.
Kerjasama antara USIM, UNTIRTA dan Mahasarakham University turut memperluas jaringan akademik serta profesional dalam kalangan mahasiswa ASEAN melalui pengalaman pembelajaran yang melangkaui konteks bilik kuliah.

Penyertaan mahasiswa USIM dalam program berkenaan turut mendapat sokongan dan sumbangan kewangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM bagi membantu merealisasikan peluang mobiliti antarabangsa tersebut.
Pengalaman menerusi FKIP UNTIRTA Summer Camp 2026 diharap dapat memperkukuh keupayaan mahasiswa USIM menghubungkan ilmu dengan realiti masyarakat, memahami isu kelestarian dan kepelbagaian budaya serta membawa pengalaman berkenaan kembali ke kampus untuk memberi manfaat kepada komuniti universiti.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
