DAP Kekal Dalam Kerajaan Perpaduan: Mandat Besar, Tetapi Angka Menceritakan Cerita Berbeza

Dari Meja Editorial

KEPUTUSAN DAP untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malah, sejak sebelum persidangan kebangsaan parti itu berlangsung, kecenderungan untuk terus berada dalam kerajaan sudah semakin jelas.

Apa yang berlaku akhirnya lebih kepada pengesahan terhadap pendirian yang telah terbentuk, bukannya satu perubahan besar dalam haluan politik DAP. Dengan keputusan itu, DAP memilih untuk terus menjadi sebahagian daripada kerajaan sehingga tamat penggal, menutup ruang spekulasi mengenai kemungkinan parti itu menarik diri dalam masa terdekat.

Namun, di sebalik keputusan itu, terdapat satu perkara menarik untuk diperhatikan, iaitu angka pengundian yang menunjukkan gambaran lebih kompleks daripada sekadar tajuk DAP mendapat sokongan besar untuk kekal dalam kerajaan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Berdasarkan angka diberikan, seramai 4,266 perwakilan layak hadir, tetapi hanya 2,223 orang atau 52.1 peratus hadir. Dari jumlah itu, 1,857 perwakilan menyokong keputusan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika angka 1,857 itu dibandingkan dengan keseluruhan 4,266 perwakilan yang layak, jumlah tersebut sebenarnya bersamaan kira-kira 43.5 peratus. Angka ini perlu dibaca dengan berhati-hati kerana ia membawa dua tafsiran politik berbeza.

Dari sudut pengundian, DAP sememangnya mendapat kemenangan sangat besar. Daripada 2,099 undi sah, 1,857 menyokong, manakala 242 menolak. Ini bermakna kira-kira 88.5 peratus daripada undi sah memihak kepada keputusan untuk kekal.

Dengan kata lain, dalam kalangan mereka yang hadir dan mengundi, sokongan terhadap pendirian kepimpinan DAP adalah sangat dominan. Dari sudut mandat dalaman parti, sukar untuk menafikan kepimpinan DAP mempunyai asas kukuh untuk meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Tetapi pada masa sama, angka 43.5 peratus daripada keseluruhan perwakilan yang layak juga tidak boleh diketepikan. Ia menunjukkan jumlah yang menyokong keputusan untuk kekal tidak mencapai separuh daripada keseluruhan jumlah perwakilan yang layak.

Ini bukan bermaksud 47.9 peratus yang tidak hadir menolak keputusan tersebut kerana ketidakhadiran tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan. Mereka mungkin mempunyai pelbagai sebab untuk tidak hadir dan kita tidak mempunyai data membolehkan kita menyimpulkan pendirian politik mereka.

Namun, dari sudut representasi, kadar kehadiran hanya 52.1 peratus tetap merupakan satu angka yang wajar diperhatikan apabila keputusan yang dibuat itu dikaitkan dengan mandat daripada keseluruhan perwakilan.

Di sinilah permainan angka politik bermula. DAP mempunyai hak mengatakan usul untuk kekal mendapat sokongan majoriti besar daripada perwakilan yang mengundi. Itu fakta.

Tetapi pada masa sama, pihak yang mengkritik DAP juga mempunyai ruang untuk mengatakan jumlah yang menyokong hanya mewakili 43.5 peratus daripada keseluruhan perwakilan yang layak.

Kedua-dua kenyataan itu boleh benar pada masa yang sama, bergantung kepada asas perbandingan yang digunakan. Sebab itu istilah seperti “mandat besar” perlu dilihat dalam konteks. Ia adalah mandat sangat besar dalam kalangan yang mengundi, tetapi bukan majoriti daripada keseluruhan perwakilan yang layak.

Persoalan lebih menarik ialah mengapa keputusan ini perlu diserahkan kepada ribuan perwakilan sekiranya kesudahannya begitu mudah dijangka?

Sebelum persidangan, DAP memberikan gambaran bahawa keputusan tersebut akan menjadi penentuan penting terhadap masa depan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Perhatian media juga diberikan kepada kemungkinan DAP keluar daripada kerajaan.

Pelbagai spekulasi muncul mengenai kestabilan kerajaan dan kemungkinan berlaku perubahan besar dalam landskap politik negara. Namun akhirnya, selepas segala perbahasan dan pengundian, DAP tetap memilih untuk kekal.

Dengan itu, keputusan yang diumumkan bukanlah satu perubahan haluan, tetapi lebih kepada satu bentuk pengesahan rasmi. DAP sudah pun berada dalam kerajaan dan kini memilih untuk terus berada di situ sehingga tamat penggal.

Dari perspektif strategi politik, keputusan itu mempunyai logiknya sendiri. Berada dalam kerajaan memberikan DAP ruang untuk mempengaruhi dasar, mendapatkan kedudukan dalam proses membuat keputusan dan pada masa sama meneruskan agenda reformasi yang sering ditekankan oleh kepimpinan parti.

Tetapi, kuasa juga datang bersama tanggungjawab. Inilah perkara yang mungkin lebih penting daripada angka 1,857 itu sendiri. Apabila DAP sudah memutuskan untuk kekal sehingga tamat penggal, mereka tidak lagi mempunyai banyak ruang untuk mengambil posisi separuh jalan.

DAP kini sebahagian daripada kerajaan dan perlu bersedia untuk dinilai berdasarkan prestasi kerajaan. Jika sesuatu dasar berjaya, DAP berhak mengambil kredit kerana mereka berada di dalam kerajaan.

Tetapi jika dasar gagal, mereka juga tidak boleh sepenuhnya melepaskan diri daripada tanggungjawab politik kerana mereka memilih untuk kekal dan meneruskan kerjasama sehingga tamat penggal.

Ini menjadi lebih penting apabila alasan untuk kekal dalam kerajaan dikaitkan dengan agenda reformasi dan kepentingan rakyat. DAP sebelum ini menekankan, berada dalam kerajaan membolehkan parti itu memainkan peranan untuk memastikan agenda reformasi diteruskan.

Maka, selepas keputusan ini, rakyat berhak melihat apakah hasil daripada keputusan tersebut. Jika reformasi yang dijanjikan bergerak, DAP boleh mengatakan keputusan untuk kekal adalah tepat. Jika reformasi terbantut, rakyat pula mempunyai alasan untuk bertanya mengapa DAP masih memilih untuk berada dalam kerajaan, sedangkan mereka sendiri telah menjadikan reformasi sebagai antara asas untuk terus kekal.

Begitu juga dengan isu kos sara hidup, ekonomi dan kebajikan rakyat. Kestabilan politik memang penting, tetapi kestabilan bukan matlamat akhir. Kestabilan sepatutnya menjadi ruang untuk kerajaan bekerja dan menghasilkan perubahan yang dirasai rakyat.

Jika kerajaan stabil, tetapi kehidupan rakyat tidak banyak berubah, rakyat akhirnya akan menilai kestabilan itu berdasarkan hasil yang mereka rasakan sendiri.

Dalam politik, rakyat tidak membayar bil menggunakan istilah “kestabilan”. Mereka mahu pendapatan yang lebih baik, harga yang terkawal, peluang pekerjaan, ekonomi yang berkembang dan kerajaan yang benar-benar menyelesaikan masalah mereka.

Sebab itu, keputusan DAP untuk kekal sehingga tamat penggal sebenarnya meletakkan parti itu dalam kedudukan agak menarik. Di satu pihak, mereka mendapat mandat dalaman yang besar daripada perwakilan yang mengundi. Di pihak yang lain, mereka kini perlu membuktikan keputusan tersebut bukan sekadar strategi untuk memastikan kedudukan dalam kerajaan terus terjamin.

Jika DAP mahu rakyat melihat keputusan itu sebagai satu keputusan berprinsip, maka hasilnya juga perlu kelihatan. Lebih menarik lagi, keputusan tersebut secara tidak langsung menamatkan satu bentuk ketidakpastian politik yang dimainkan sejak beberapa minggu lalu.

Selepas ini, DAP tidak lagi boleh dikatakan sedang mempertimbangkan sama ada mahu keluar atau kekal. Keputusan sudah dibuat. Mereka memilih untuk kekal. Maka, fokus politik selepas ini sepatutnya beralih daripada persoalan “keluar atau tidak” kepada persoalan yang lebih penting, iaitu “apa yang akan dilakukan DAP dengan kedudukan mereka dalam kerajaan?”

Ini juga akan menjadi ujian kepada kepimpinan Anthony Loke dan barisan pimpinan DAP. Mandat diberikan oleh perwakilan bukan sekadar lesen untuk terus duduk dalam kerajaan sehingga tamat penggal.

Ia sepatutnya menjadi mandat untuk membawa suara parti dalam kerajaan dan memastikan perkara yang mereka perjuangkan benar-benar diterjemahkan kepada dasar dan tindakan. Jika tidak, keputusan untuk kekal boleh dilihat sekadar sebagai keputusan mempertahankan status quo.

Pada akhirnya, angka 1,857 memang memberikan DAP satu kemenangan dalaman yang jelas. Mereka mendapat sokongan kira-kira 88.5 peratus daripada undi sah dan hanya 242 menolak. Itu bukan angka kecil dan tidak wajar dipandang ringan.

Tetapi, apabila angka tersebut dilihat dalam konteks keseluruhan 4,266 perwakilan yang layak, gambarnya menjadi sedikit berbeza. Hanya 43.5 peratus daripada keseluruhan perwakilan yang layak secara langsung memberikan sokongan kepada keputusan untuk kekal.

Perbezaan antara kedua-dua angka ini menjadikan keputusan tersebut lebih menarik untuk dianalisis daripada sekadar melihat tajuk “DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan”.

Namun, perbahasan mengenai angka ini akhirnya akan tenggelam apabila politik bergerak ke hadapan. DAP sudah membuat pilihan. Mereka memilih untuk kekal sehingga tamat penggal. Sekarang mereka perlu hidup dengan segala implikasi daripada pilihan tersebut.

Mereka akan mempunyai masa untuk menunjukkan prestasi, memperjuangkan reformasi dan membuktikan kehadiran mereka dalam kerajaan membawa manfaat kepada rakyat.

Selepas tamat penggal, angka yang paling penting bukan lagi 4,266, 2,223 atau 1,857. Angka yang akan menentukan masa depan DAP ialah jumlah undi rakyat dalam PRU-16.

Ketika itu, bukan perwakilan DAP yang akan membuat penilaian, tetapi rakyat. Mereka akan menilai siapa yang bekerja, siapa yang hanya bercakap, siapa yang menunaikan janji dan siapa yang gagal memenuhi harapan.

DAP sudah memuktamadkan pilihan mereka untuk kekal dalam kerajaan. Kini giliran rakyat pula memuktamadkan penilaian mereka terhadap DAP. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *